Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini selepas sesi dagangan yang turun naik sedikit dengan belian diselangi jualan dalam kaunter mewah dalam keadaan sentimen negatif luaran.

Pada sesi penutup, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.24 mata atau 0.13 peratus lebih rendah kepada 1,675.86 daripada paras penutup 1,678.10 pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.14 mata lebih tinggi kepada 1,679.24 dan bergerak antara paras 1,673.26 dan 1,681.54 sepanjang sesi dagangan.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 547 berbanding 264 dengan 409 kaunter tidak berubah, 695 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.87 bilion unit bernilai RM1.92 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata pengambilan untung didorong oleh jualan asing saham tempatan yang berterusan dalam keadaan kebimbangan akan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS), China dan Kesatuan Eropah.

“Kebimbangan yang berterusan ditambah dengan prospek kenaikan lagi kadar faedah di AS telah menular ke Malaysia.

“Ini telah mencetuskan kegelisahan apabila dunia memerhati dengan berhati-hati perkembangan di negara-negara terbabit,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata saham tempatan berkaitan dengan China dijangka menerima kesan daripada kebimbangan perang perdagangan yang mana ia termasuklah Hiap Teck, Cuscapi dan Eduspec Holdings.

Justeru itu, Nazri Khan berharap kadar inflasi yang dijangka menyederhana dalam suku ke-3 tahun ini susulan GST yang berkadar zero pada Jun akan membantu meringankan kesan luaran ke atas Malaysia.

“Harga minyak dan komoditi yang kukuh juga akan membantu,” katanya sambil menambah pasaran masih belum lagi berada di tahapnya yang paling buruk.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 8 sen kepada RM9.00, Public Bank naik 18 sen kepada RM22.90, Tenaga susut 2 sen kepada RM13.84, Petronas Chemicals jatuh 3 sen kepada RM8.41 dan CIMB berkurangan 1 sen kepada RM5.39.

Dalam kalangan saham cergas, Sapura Energy dan MYEG turun setengah sen setiap satu masing-masing kepada 65 sen dan 98 sen, manakala DBE tidak berubah pada 3 sen.

Indeks FBM Emas turun 22.31 mata kepada 11,857.45, Indeks FBMT100 susut 18.56 mata kepada 11,647.27 dan FBM70 jatuh 34.27 mata kepada 14,482.14.

Indeks FBM Ace berkurangan 21.95 mata kepada 5,139.57 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 33.57 mata kepada 11,987.83.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 58.45 mata kepada 16,516.49, Indeks Perusahaan susut sedikit 0.34 mata kepada 3,117.35 dan Indeks Perladangan berkurangan 22.41 mata kepada 7,530.54.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.21 bilion saham bernilai RM1.77 bilion daripada 1.18 bilion saham bernilai RM1.79 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turun kepada 490.27 juta unit bernilai RM129.48 juta berbanding 601.59 juta unit bernilai RM158.60 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 172.36 juta saham bernilai RM29.08 juta berbanding 251.96 juta saham bernilai RM50.94 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 187.66 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (178.11 juta), pembinaan (118.79 juta), perdagangan dan perkhidmatan (449.58 juta), teknologi (45.64 juta), prasarana (17.04 juta), SPAC (603,500), kewangan (69.18 juta), hotel (246,500), hartanah (117.45 juta), perladangan (25.63 juta), perlombongan (22,400), REITs (3.45 juta) dan dana tertutup (249,000).