Dr M: Melayu akan terus nikmati keistimewaan

Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu yang sebahagian besarnya penjawat awam dan makan gaji tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dasar tindakan afirmatif untuk membantu orang Melayu akan diteruskan, sebahagiannya untuk mengelakkan konflik antara majoriti Melayu dan kumpulan etnik “kaya” seperti orang Cina.

“Kami sudah mengurangkan jurang antara orang Melayu dan kebanyakan orang Cina, tetapi ada bidang tertentu di mana kami perlu memberi orang Melayu sedikit dorongan,” katanya dalam wawancara bersama Channel NewsAsia (CNA).

Katanya, antara aspek yang orang Melayu masih memerlukan bantuan ialah biasiswa untuk belajar di luar negara.

“Contohnya ketika saya berada di UK, saya jumpa sejumlah pelajar Cina. Mereka berada di sana kerana ayah mereka, ibu bapa mereka mampu membayar pendidikan mereka di sana.

“Tetapi, saya dapati ibu bapa Melayu, sebahagian besarnya tidak mampu membiayai pendidikan universiti untuk anak mereka.

Dr Mahathir berkata, sebahagian besar orang Cina berniaga dan “dalam perniagaan, anda boleh meraih bertan-tan wang”.

Sebaliknya, beliau berkata, orang Melayu yang sebahagian besarnya penjawat awam dan makan gaji tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberitahu CNA dasar berterusan membantu orang Melayu tidak bermakna kerajaan “hanya memikirkan orang Melayu”.

“Jurang dalam mana-mana masyarakat adalah teruk, walaupun dalam (kumpulan) etnik tunggal. Anda ada orang kaya, sangat kaya dan miskin, sangat miskin…anda menanti konflik berlaku.

“Tetapi, apabila yang kaya tergolong dalam satu kaum dan satu lagi kaum yang miskin, potensi berlaku konflik lebih besar.”

Katanya, itu sebabnya ketidakseimbangan itu perlu diperbetulkan.

“Kita tidak boleh mengubah orang Melayu menjadi orang Cina, orang Cina menjadi Melayu, tetapi kita boleh mengubah keadaan ekonomi mereka. Kita boleh membantu memperbaiki kesejahteraan ekonomi orang Melayu dengan tindakan afirmatif tertentu.”