Kami lebih suka bantuan wang tunai, kata nelayan P Pinang

Nelayan di Pulau Pinang berkata, bantuan yang dikreditkan ke akaun bank lebih baik. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Nelayan di Pulau Pinang lebih suka menerima elaun kos sara hidup (COLA) daripada kerajaan dalam bentuk wang tunai, kata Persatuan Nelayan Pulau Pinang.

Pengerusi Nazri Ahmad berkata bayaran COLA dalam bentuk lain boleh membawa masalah kepada mereka.

“Contohnya, jika kami beli 1 kilogram beras untuk RM30, ada kemungkinan kami hanya memperoleh separuh beg beras. Kami bimbang akan ada banyak masalah.

“Jika wang tunai diberikan kepada nelayan, wang dikreditkan terus ke akaun bank kami. Ada jaminan,” katanya dalam ucapan pada mesyuarat agung tahunan ke-33 persatuan itu di Batu Maung hari ini.

Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Dr Afif Bahardin yang kemudian merasmikan mesyuarat itu.

Komen Nazri susulan kenyataan baru-baru ini oleh Dr Afif yang mencadangkan kad subsidi makanan dan keperluan lain diberikan kepada nelayan, bukan pemberian wang tunai.

Beliau juga mencadangkan kad pintar untuk nelayan yang memerlukan subsidi minyak diesel.

Selepas majlis itu, Dr Afif mengambil perhatian pandangan nelayan dan berkata kerajaan negeri memahami kesusahan mereka.

Beliau akan mengkaji cadangan kad subsidi itu dengan lebih lanjut.

“Bagaimanapun, kerajaan juga akan menanggung kos jika bayaran wang tunai diberikan. Kita perlu kaji perkara ini bagi memastikan tiada ketirisan.

“Ya, kita perlu terus memberikan bantuan kepada nelayan dalam apa jua bentuk tetapi perlu penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan dan kemapanan dalam membantu nelayan,” katanya.

Katanya, kehadirannya di mesyuarat agung tahunan persatuan itu bagi mengadakan perbincangan awal berhubung isu yang dialami nelayan.

“Kita tidak boleh fikir semuanya akan berjalan lancar. Saya percaya peranan kerajaan adalah terus terlibat dengan nelayan,” tambahnya.