Ku Li: Ambil duit, tapi jangan undi calon amal politik wang

Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan amalan politik wang sebagai barah yang menjejaskan maruah Umno. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan ahli mengambil wang yang ditawarkan calon bertanding dalam pemilihan parti, tetapi menolak pemimpin itu menerusi kertas undi.

Veteran Umno itu berkata, ahli perlu menolak pemimpin yang mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti Sabtu ini kerana amalan itu ialah barah yang menjejaskan maruah Umno.

“Kalau sekarang politik wang dimainkan dalam pemilihan ini, nasihat saya ambil duit tetapi jangan undi dia. Kalau saya tawar duit, jangan undi saya, bahkan jangan tegur saya di mana-mana sekalipun.

“Kita boikot orang seumpama ini kerana ia merosakkan kedudukan kita, politik wang menghalang orang berpotensi, tapi tidak ada wang untuk menyumbang kemajuan parti kita. Kita perangi orang ini habis-habisan.

“Tidak perlu mempunyai ahli seperti ini dalam parti kerana membawa barah dalam parti dan rosak budaya orang Melayu itu sendiri,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya Umno Johor di Johor Bahru, malam tadi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li juga berjanji akan menubuhkan Jawatankuasa Disiplin Khas bagi menyelia dan memerangi amalan politik wang dalam Umno, jika menang dalam pertandingan 5 penjuru untuk jawatan presiden parti.

“Kalau kita berkuasa semula, kita boleh buat undang-undang mengharamkan dan mengenakan hukuman berat kepada mereka yang amalkan politik wang.

“Dan kalau berjaya dalam pemilihan ini, sekurang-kurangnya kita boleh wujudkan satu Jawatankuasa Disiplin Khas untuk menyelia mainan politik wang.”

Ku Li akan berdepan pemangku presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, Mohamed Iqbal Maricair (Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Umno Iskandar Puteri), Sabtu ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Gua Musang itu mencadangkan ahli Umno menyertai DAP jika mahu sebuah parti berbilang kaum.

“Saya cadang mana-mana orang Melayu nak sertai parti politik yang mahu keahlian dari semua kaum sertai DAP,” katanya ringkas.

Awal bulan ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan parti itu membuka keahliannya kepada semua rakyat Malaysia dalam usaha melakukan perubahan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bulan lalu, Khairy berkata, parti itu perlu “menimbangkan semua pilihan secara serius” dan mengkaji semula strukturnya, termasuk membuka keahlian kepada semua kaum ekoran kekalahan teruk dalam PRU14.

Pada 23 Mei lalu, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata politik perkauman yang diamalkan Umno dan Barisan Nasional sejak lebih 70 tahun lalu tidak lagi relevan dalam landskap politik baru negara.

Katanya, konsep politik Umno yang melaungkan pembelaan nasib bangsa, terutamanya Melayu, tidak lagi mendapat tempat di hati masyarakat dan ia dibuktikan dalam keputusan PRU14.