Laporan Siti Kasim ‘larikan anak guam’ siap dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Laporan siasatan ke atas kes peguam, Siti Kasim, atau nama sebenar Siti Zabedah Kassim, yang didakwa melarikan anak guam sendiri dan menganggu tugas penjawat awam akan siap dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata laporan itu akan diserah ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.

“Yang pentingnya kita akan hantar laporan dan akan teruskan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Sabtu lalu, Siti Kasim dilepaskan selepas permohonan reman terhadapnya ditolak Mahkamah Kajang 24 Jun lalu.

Siti Kasim ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam, Jumaat lalu.

Sementara itu, Fuzi berkata polis belum memanggil bekas pembantu kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak, Musa Safri, dalam siasatan baru ke atas pembuhuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Lokasi beliau belum dikenal pasti,” katanya, dan menambah timbalan superintenden itu sudah bersara daripada pasukan itu.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev memailkan laporan polis pada 20 Jun lalu untuk memulakan siasatan baru, dan meminta polis mendapatkan keterangan daripada Musa.

Shaariibuu berkata Musa mungkin tahu sesuatu mengenai kes itu tetapi tidak memberi dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10.00 malam 19 Oktober 2006 dan 1.00 pagi 20 Oktober 2006.

Dua bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhkan hukuman mati.

Seorang lagi tertuduh, Abdul Razak Baginda, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.