Majlis penasihat bakal bertemu tokoh Islam konservatif, liberal

Pelajar sekolah agama berkumpul bagi menunjukkan solidariti untuk Jakim di Kuala Lumpur awal bulan ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan mengundang sekurang-kurangnya 3 mufti dan juga sarjana, ahli akademi dan aktivis Islam bebas, dipercayai sebahagian proses pengumpulan maklum balas bagi mendengar pandangan berhubung masa depan pentadbiran Islam bawah kerajaan baru.

Sumber yang rapat dengan Majlis Penasihat Kerajaan berkata mereka yang dipanggil termasuklah pemimpin kumpulan konservatif Islam dan juga individu Islam terkemuka yang “lebih liberal dan lebih cenderung kepada haluan kiri”.

“Mereka ialah ahli akademi, ketua badan bukan kerajaan (NGO), ulama dan penulis. Mereka mempunyai latar belakang berbeza,” kata sumber itu kepada FMT.

Seruan reformasi institusi Islam semakin rancak di tengah-tengah penahanan Siti Kasim, peguam hak asasi manusia yang selama ini antara pengkritik lantang isu birokrasi agama.

Sejak bertahun lama, pemimpin Islam mempersoal pihak berkuasa Islam dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikawal kerajaan persekutuan, kerana dianggap suka mengenakan bentuk Islam yang lebih keras.

Pegawai agama kerajaan yang berpengaruh juga dipersalahkan atas pelbagai keputusan berkaitan agama yang kontroversi dan larangan ratusan buku berkenaan Islam sejak beberapa tahun lalu.

Jakim juga diteliti dan terdapat pemimpin Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan (PH) menyeru agar ia dibubarkan, mengatakan kuasanya menentang peruntukan perlembagaan yang sebenarnya menggariskan hal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Awal tahun ini, ahli politik veteran dan calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyalahkan pembentukan Jakim atas apa yang beliau katakan persaingan tentang siapa lebih Islam antara Umno dan PAS.

Sejak mengambil alih kuasa bulan lepas, kerajaan PH bawah Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan ia mahu mengkaji reformasi pentadbiran Islam.