MB N Sembilan: Isu Gatco sedang dirunding

JEMPOL: Kerajaan negeri masih dalam proses mengadakan rundingan dengan penduduk dan pemilik tanah berkenaan isu pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah (Ladang Gatco) bagi menyelesaikan kemelut pemilikan tanah di kawasan tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata sehubungan itu beliau meminta exco dan beberapa wakil rakyat mengadakan sesi perbincangan dengan pihak berkenaan (penduduk dan pemilik tanah).

“Perbincangan itu dibuat kerana kerajaan negeri tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut kerana ianya milik individu dan sebuah syarikat… bagaimanapun kita (pihak kerajaan) menjalinkan kerjasama dengan pemilik tanah bagi memastikan perkara dibangkitkan penuntut (penduduk) boleh diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan Berhad hari ini.

Ketika ditanya berapa lama proses rundingan akan berjalan, Aminuddin berkata isu ini perlu dilihat secara keseluruhan dan hanya melalui kerjasama atau rundingan membolehkan hak yang dituntut penduduk dapat diperoleh daripada pemilik tanah kawasan ladang tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil negeri Datuk Aliasak Ambia dan Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Negeri Sembilan Mohd Jazlanuddin Azmi.

Pada 1 Jun lepas, seramai 60 penduduk Gatco menyerahkan memorandum kepada Aminuddin bagi memohon beliau mengatasi kemelut tanah ladang tersebut.

Isu pertikaian ladang Gatco bermula apabila peneroka tidak berpuas hati dengan penjualan ladang itu dan mendakwa wujud penyelewengan dalam penjualan tanah tersebut kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd pada 2007 memandangkan syarikat berkenaan hanya membayar RM16 juta sedangkan nilai pasaran semasa ialah kira-kira RM500 juta.

Kes Gatco bermula selepas pemilik asal tanah seluas 2,000 hektar berkenaan, Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup, menyebabkan ladang tebu terbabit dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah tersebut selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan Gatco menjadikan kawasan tersebut sebagai tanah rancangan dengan membawa masuk peserta yang ditawarkan tapak rumah dan tanah kebun seluas 4.048 hektar dengan bayaran antara RM4,000 dan RM7,000 seorang.

Perancangan awal ladang tersebut akan dijadikan ladang getah namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek itu terbengkalai dan tanah tersebut dirampas sebelum ditawarkan untuk lelongan awam pada 2004 dan dibeli Thamarai Holdings pada 2007.

Pada 16 April lepas, seramai 140 bekas peneroka Ladang Gatco gagal dalam usaha terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya berhubung pemilikan tanah.

Ini berikutan keputusan panel 3 hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif yang menolak permohonan kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka.