Mustahil calon luar PAS jadi speaker DUN Kedah, kata Mukhriz

Mukhriz Mahathir berkata, PH mengemukakan nama speaker dan timbalan kepada setiausaha DUN Kedah 2 hari lalu.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mustahil kerajaan negeri menerima calon luar yang bukannya adun seperti dicadangkan PAS sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bayangkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) terima pencalonan speaker daripada PAS dan bukan dari kalangan adun, maka pihak pembangkang menambah jumlah orang yang boleh undi dalam DUN daripada 18 jadi 19 orang, lebih daripada kerajaan negeri.

“Saya sudah terangkan pada pihak PAS tidak boleh terima cadangan ini, mana mungkin kerajaan mempunyai jumlah kerusi yang kurang daripada pembangkang,” katanya selepas taklimat prosedur dan perjalanan persidangan Dewan Rakyat serta kemudahan wakil rakyat di Parlimen hari ini.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN, di mana PH memenangi 18 kerusi, manakala PAS (15 kerusi) dan Barisan Nasional (3 kerusi).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti Islam itu berhak mengemukakan calon speaker dan timbalan speaker, begitu juga BN berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Takiyuddin dilaporkan berkata, parti itu mencalonkan Ahmad Fakhruddin sebagai speaker dan Adun Bukit Pinang, Wan Romaini Wan Salim sebagai timbalan speaker Kedah.

Pada 15 Jun lalu, Mukhriz berkata, Beliau berkata, DUN Kedah akan mula bersidang 4 Julai ini dan calon speaker ialah adun PKR, manakala timbalannya daripada PPBM.

Hari ini, Mukhriz berkata, PH mengemukakan nama speaker dan timbalan kepada setiausaha DUN Kedah 2 hari lalu.

“Insya Allah kita akan mendapat undian lebih daripada 18 undi pada hari tersebut. Tunggu dan lihat.”