P Pinang mahu bebas asap rokok dalam 5 tahun

Dr Afif Bahardin berkata perokok perlu hormat hak individu lain atau masyarakat sekeliling untuk mendapatkan udara bersih dan bebas asap rokok. (Gambar Reuters)

BUTTERWORTH: Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri bebas asap rokok dalam 5 tahun akan datang bertujuan mengurangkan sikap toleransi masyarakat terhadap perokok.

Menyifatkan masyarakat sangat bertoleransi dengan golongan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata usaha itu bukan untuk menyekat sesiapa merokok sebaliknya mahu mengubah sikap masyarakat yang “tiada masalah” dengan individu yang merokok di sebelah mereka.

“Kita tak sekat orang hisap rokok. Tetapi mereka perlu hormat hak individu lain atau masyarakat sekeliling untuk mendapatkan udara bersih dan bebas asap rokok. Kalau nak merokok mereka cari tempat yang boleh untuk merokok. Bukannya semua tempat boleh merokok.

“Kalau sekarang ini banyak tempat boleh merokok, jadi kami nak buat seluruh negeri tak boleh (merokok) kecuali tempat tertentu. Adalah menjadi harapan Pulau Pinang boleh bergelar negeri pertama di Malaysia menjadi kawasan bebas asap rokok,” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri Pulau Pinang.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta barisan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri.

Ahad lepas, Dr Afif berkata Pulau Pinang menerusi program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) dalam perancangan mewartakan seluruh negeri sebagai kawasan larangan merokok dalam 5 tahun akan datang supaya menjadi negeri bebas asap rokok.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri mewartakan semua kawasan di Tapak Warisan Dunia George Town dan enam taman awam dan rekreasi di negeri ini sebagai kawasan larangan merokok dan undang-undang itu akan diperluaskan ke kawasan lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Dr Afif berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub pada 3 Julai ini untuk membincangkan beberapa isu pertanian di negeri ini termasuk isu penternakan khinzir, enakmen penternakan unggas dan enakmen peraturan industri asas tani negeri.

Terdahulu, Chow dalam ucapannya pada majlis itu berkata budaya perkongsian dan muafakat harus diamalkan bukan sahaja dalam konteks perkongsian perayaan malah setiap amalan dan kehidupan seharian.

“Hari lebaran Aidilfitri juga memberi kesempatan kepada kita untuk saling bermaafan dan mengukuhkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin. Oleh itu, kita harus kekalkan semangat muhibah dan permuafakatan kerana saya yakin ia menjadi tunjang kekuatan kita untuk terus hidup aman dan makmur,” katanya.