Penganalisis: Kemenangan Asyraf Wajdi, peluang cerah buat Ku Li

Kamarul Zaman Yusoff berkata penolakan Nurul Hidayah oleh Wanita Umno juga boleh ditafsir sebagai penolakan ahli Umno ke atas Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Kemenangan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang juga calon luar bagi jawatan ketua Pemuda Umno mencerahkan lagi peluang Tengku Razaleigh Hamzah memenangi jawatan presiden, kata penganalisis politik.

Kamarul Zaman Yusoff membuat perkiraan itu merujuk kepada penerimaan calon luar oleh golongan muda yang akan memberi tamparan hebat kepada Datuk Seri Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin yang merupakan pemimpin dalaman yang mempunyai jawatan dalam parti sebelum ini berbanding Tengku Razaleigh.

“Kemenangan ‘outsider’ seperti Asyraf Wajdi untuk jawatan ketua Pemuda Umno akan mencerahkan lagi peluang ‘outsider’ seperti Ku Li untuk menang jawatan presiden.

“Nampak seperti ahli Umno menolak ‘insider’ dan ini memberi petunjuk sukar kepada ‘insider’ seperti Zahid dan Khairy, apatah lagi bila anak Zahid, Nurul Hidayah ditolak ahli Wanita Umno yang boleh ditafsir sebagai penolakan ahli Umno ke atas Zahid sendiri.

“Begitu juga dengan kekalahan Azwan Bro (Khairul Azwan Harun) yang disokong penuh oleh Khairy untuk jawatan ketua Pemuda yang menyukarkan peluang Khairy,” katanya kepada FMT.

Calon luar yang dimaksudkan Kamarul adalah merujuk kepada Asyraf yang tidak memegang jawatan utama Pemuda dan Tengku Razaleigh yang tidak memegang jawatan tertinggi pada pemilihan lepas sepertimana Zahid dan Khairy.

Kamarul berkata demikian mengulas kemenangan Asyraf, Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan yang diumum pemenang pemilihan ketua Pemuda, Wanita dan Puteri yang selesai malam Sabtu lalu.

Kemenangan mereka secara rasmi diumumkan Setiausaha Kerja Datuk Seri Ab Rauf Yusof pada sidang media di Auditorium Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra malam selepas tertangguh sejak 5.00 petang.

Kamarul berkata, Asyraf mempunyai hubungan baik dengan Razaleigh atau selesa dipanggil Ku Li.

“Walaupun mungkin Asyraf tidak mengumumkan sokongan terbuka kepada Ku Li, dapat dijangkakan majoriti ahli Pemuda Umno kini menyokong Ku Li dan sokongan Pemuda Umno ini sangat penting sebagai penentu kemenangan jawatan presiden,” katanya.

Tambahnya, Asyraf yang berpewatakan Islamis juga membuktikan orang muda menolak calon yang bersikap
liberal.

“Bila Islamis menang ketua Pemuda, maka liberalis seperti Khairy sukar menang.”

Mengulas mengenai kemenangan Noraini dan Zahida bagi jawatan ketua Wanita dan ketua Puteri, katanya, ia merupakan satu anjakan baru buat 2 sayap itu.

“Puteri kekal status quo bila Zahida yang juga bekas naib ketua menang jawatan ketua, cuma bagi wanita dengan kemenangan Norani ada anjakan bila buat pertama kali bekas ketua Puteri berjaya jadi ketua Wanita mengalahkan naib ketua Wanita. Jadi di sini boleh dijangka akan ada perubahan lebih ketara,” katanya.

Mereka akan menggalas tanggungjawab jawatan itu bagi penggal 2018-2021.

Sebanyak 191 bahagian mengundi untuk ketiga-tiga sayap dalam pemilihan Umno kali ini.

Pada 30 Jun ini setiap bahagian akan mula memilih jawatan utama parti itu bagi menentu corak sebenar Umno baharu yang akan dibentuk untuk berdepan dengan parti pemerintah Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam misi menawan kembali Putrajaya.

Asyraf Wajdi, Noraini, Zahida pemenang ketua Pemuda, Wanita, Puteri