Persatuan doktor, kementerian bekerjasama kawal ‘orang tengah’

Dr Ravindran berkata pentadbir pihak ketiga yang tidak dikawal antara sebab klinik ditutup. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu Kementerian Kesihatan mengawal aktiviti pentadbir pihak ketiga (TPA) yang dilantik syarikat untuk menguruskan rawatan perubatan para pekerja.

Presiden Dr Ravinran R Naidu berkata TPA yang tidak dikawal antara sebab klinik-klinik yang dijalankan oleh doktor (GP) ditutup sejak beberapa tahun lepas.

“Ada antara mereka menggunakan kedudukan dominan mereka (melalui pelantikan oleh syarikat) untuk mengurangkan yuran konsultasi doktor, dan yang lain mengambil peratusan tetap daripada bayaran kepada doktor sebagai ‘bayaran pentadbiran’,” katanya.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata MMA berkata amalan “bayaran pentadbiran” itu dianggap tidak beretika.

Beliau menambah persatuan itu sedang bekerjasama dengan kementerian untuk mengawal TPA supaya amalan tidak beretika boleh dihapuskan.

Beliau berkata demikian selepas Kementerian Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata para doktor jangan terlalu bergantung pada syarikat insuran.

Ravindran berkata TPA melantik klinik dan menandatangani perjanjian dengan mereka sambil menguruskan penjagaan kesihatan pekerja bagi pihak majikan yang melantik mereka.

“Oleh kerana kadar pesakit yang mendapat penjagaan kesihatan yang dibayar oleh majikan atau bersubsidi meningkat, jumlah pesakit berbayar sendiri menurun,” katanya.

“Kami percaya trend ini tidak akan berpatah balik dan sangat sukar untuk klinik bergantung pada pesakit yang membayar tunai sahaja terutama di kawasan bandar.”

Beliau berkata langkah kementerian menetap had bayaran doktor turut menjejaskan pasaran, terutama apabila semakan keatas jadual bayaran yang ditetapkan kerajaan kerap dilakukan.

Ravindran menambah persaingan antara hospital swasta dan pusat diagnostik yang dibiayai perniagaan, serta kenaikan dalam kos pematuhan kawal selia dan amalan perubatan, juga menyumbangkan kepada penutupan klinik-klinik swasta.