Persatuan Pekilang sumbang RM1 juta kepada Tabung Harapan

Presiden FMM Datuk Soh Thian Lai berkata pihaknya percaya kerajaan berupaya tempuhi cabaran khususnya dalam mengurangkan beban hutang negara.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyumbang RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia sebagai tanda semangat perpaduan yang tinggi terhadap negara.

Dalam kenyataan hari ini, ia mengalu-alukan inisiatif Kementerian Kewangan melancarkan tabung itu pada 30 Mei, 2018 sebagai respons kepada hasrat rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama mengurangkan jumlah hutang negara.

“FMM percaya kerajaan berupaya menempuhi cabaran mendatang, khususnya dalam mengurangkan beban hutang negara selain meningkatkan kecekapan dan berhemah dalam menggunakan dana awam,” katanya.

Sumbangan cek itu diserahkan kepada Lim oleh Presiden FMM Datuk Soh Thian Lai di pejabat menteri itu di Putrajaya, semalam.

Menurut Lim, derma yang disalurkan kepada Tabung Harapan akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

Sumbangan boleh disalurkan kepada nombor akaun Maybank 566010626452, dengan kutipan derma akan berakhir pada 31 Ogos, 2018.