Saksi: Zulfarhan Osman beritahu dia tak ambil komputer riba rakan

Saksi itu memberitahu dia menemui Zulfarhan Osman dan bertanyakan perkara itu di bilik asrama 3-05 UPNM, pada 21 Mei 2017. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memberitahu Mahkamah Tinggi, Zulfarhan Osman menafikan dia mengambil komputer riba milik tertuduh pertama dalam kes itu.

S Hari Krishna Rao, 22, penuntut UPNM jurusan perubatan berkata dia dan beberapa rakannya pernah menyoal mangsa berhubung kehilangan sebuah komputer riba milik tertuduh pertama dalam kes itu tetapi mangsa berkata dia tidak mengambil komputer itu.

“Saya tanya Zulfarhan Osman kalau dia ada pergi ke bilik 4-10, bilik Muhammad Akmal Zuhairi, sebab ‘laptop’ hilang di bilik tersebut, Zulfarhan Osman kata tidak. Saya juga tanya dia ada ambil laptop itu, dia kata dia tidak ambil,” katanya yang turut memberitahu dia menemui Zulfarhan Osman dan bertanyakan perkara itu di bilik asrama 3-05 UPNM, pada 21 Mei 2017.

Katanya dia menyoal mangsa selepas rakannya, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama itu memberitahunya, dia mengesyaki mangsa mencuri komputer riba tersebut.

Saksi ke-20 pihak pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah pada perbicaraan hari ke-10 kes itu hari ini.

Kepada soalan Othman adakah Hari Krishna tahu mengapa Muhammad Akmal Zuhairi mengesyaki mangsa mencuri komputer ribanya, saksi itu berkata dia tidak tahu.

Saksi itu memberitahu bahawa beberapa hari selepas itu, dia ada melihat Zulfarhan Osman berada di bilik lain bernombor 4-06.

Katanya Zulfarhan Osman yang tidak memakai baju, berselimut di paras pusat, kelihatan hanya terbaring ketika berada di bilik itu sepanjang 7 hari dan terdapat kesan lecur di dada mangsa.

Ketika ditanya Othman adakah dia ada bertanyakan mangsa mengenai kesan lecur itu dan apakah reaksinya sebagai pelajar perubatan apabila melihat kecederaan itu, Hari Krishna berkata, “Saya baru di tahun 2 ketika itu, saya tidak ada pengalaman, saya takut ada masalah besar lain, jadi saya jauhkan diri,” katanya.

Kepada soalan lain apakah masalah yang dimaksudkan tersebut, saksi itu berkata masalah membabitkan pihak atasan berkaitan dengan kecurian komputer riba.

Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.