Setiausaha Dewan Rakyat belum terima senarai calon speaker, timbalan

Roosme Hamzah berkata, 90 ahli Parlimen baru akan menyertai sidang Dewan Rakyat mulai 16 Julai ini.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata kerajaan baru belum menyerahkan senarai calon speaker dan timbalan speaker, manakala calon ketua pembangkang juga belum diketahui.

Katanya, usul itu perlu dikemukakan dalam masa 14 hari sebelum penggal pertama Parlimen ke-14 mula bersidang 16 Julai ini.

“Pencalonan speaker dan timbalan speaker belum dapat usul daripada pihak kerajaan lagi,” katanya selepas taklimat prosedur dan perjalanan persidangan Dewan Rakyat serta kemudahan ahli Parlimen di Parlimen hari ini.

Persidangan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen Ke-14 dijadualkan berlangsung selama 20 hari, mulai 16 Julai ini.

Saingan bagi jawatan speaker Dewan Rakyat tertumpu kepada 2 calon, iaitu bekas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim, selepas aktivis sosial dan peguam, Datuk S Ambiga menolak spekulasi dicalonkan.

Roosme berkata, sidang Dewan Rakyat bulan depan bakal mencipta sejarah kerana ia akan disertai 90 ahli Parlimen baru.

“Sebelas ahli Parlimen membuat penampilan semula setelah memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14),” katanya sambil menambah 121 wakil rakyat juga berjaya meneruskan kemenangan PRU13 pada 9 Mei lalu.

Beliau berkata, taklimat hari ini penting kerana 90 ahli Parlimen baru perlu mengetahui tatacara Dewan Rakyat bersidang dan kemudahan wakil rakyat.

“Ada mereka yang muda, iaitu seorang (merupakan) pelajar lagi dan ada juga yang sudah senior dalam menjadi ahli Parlimen.”