Zahid: Ketua pembangkang di Parlimen belum ditentukan

Zahid berkata ketua pembangkang akan diumumkan pada 16 Julai, hari Parlimen bersidang. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti akan memilih ketua pembangkang di Parlimen dalam beberapa minggu selepas rundingan dengan Ahli Parlimen parti.

Bekas timbalan perdana menteri berkata perbincangan dengan Ahli Parlimen Umno akan diadakan dan keputusannya akan diumumkan 16 Julai ini, iaitu apabila Parlimen bersidang buat pertama kali selepas pilihan raya umum 9 Mei.

“Setakat ini, kami belum memutuskan lagi. Kami perlu duduk dan berbincang dengan pemimpin pembangkang lain juga.

“Kami akan umumkan nama ketua pembangkang kami pada 16 Julai ini,” kata Zahid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau tidak layak menjadi ketua pembangkang kerana tidak memegang jawatan tinggi dalam parti.

“Ia harus diberikan kepada presiden, timbalan presiden atau naib presiden. Saya tidak bertanding untuk sebarang jawatan sejak tahun 2000.

“Saya akan menyokong sesiapa sahaja yang menjadi ketua pembangkang,” katanya.

Pembangkang di peringkat persekutuan kini terdiri daripada Barisan Nasional (BN), dengan 56 kerusi di Parlimen. Daripada 56 kerusi dipegang BN itu, Umno memegang 53.

Parti pembangkang lain termasuklah Gabungan Parti Sarawak (19 kerusi), PAS (18), dan 1 kerusi Parti Reformasi Negeri (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pakatan Harapan (PH) mempunyai 116 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, iaitu dengan sokongan Parti Warisan Sabah (8 wakil) dan Upko (1).

Status Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali masih tidak jelas selepas meletak jawatan daripada Umno, menyatakan beliau mahu menyertai PPBM. PPBM masih belum menentukan keahliannya.