Zunar bebas ke luar negara, tekad pastikan kebebasan rakyat tak disekat

Zunar berada di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum berlepas ke London pada 24 Jun lalu. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Kartunis politik, Zunar pertama kali menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Heathrow di London, selepas sekatan perjalanan yang dikenakan kerajaan terdahulu sejak 2 tahun lalu, dibatalkan.

Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Ulhaque yang akhirnya menikmati kebebasan ke luar negara, berjanji akan memastikan apa yang dilaluinya tidak berlaku kepada rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang negara.

Beliau juga bertekad mencari punca sebenar dikenakan sekatan perjalanan dan siapa yang mengarahkan larangan itu, di mahkamah.

“Ia adalah karma. Kini saya bebas ke luar negara, tetapi ada orang yang membawa kesulitan kepada saya akibat sekatan perjalanan itu. Keadaan sudah terbalik sekarang. Ia adalah perasaan baik dan saya rasa bebas.

“Tetapi, saya tidak akan berhenti berjuang untuk kebebasan sivil awam rakyat Malaysia untuk pergi ke mana-mana yang mereka mahu,” katanya yang kini berada di London ketika dihubungi FMT.

“Jika saya melakukan jenayah dan dilarang meninggalkan negara, itu tidak apa. Tetapi, saya disekat ke luar negara atas sebab-sebab khas. Ia tidak boleh diterima.

“Hak saya dicabuli, saya mahu mahkamah menentukan sama ada kerajaan pemerintah sekarang boleh melakukan perkara ini pada masa akan datang.”

Zunar dikenakan sekatan perjalanan sejak Jun 2016 atas alasan mencemarkan imej Malaysia di luar negara, selepas mengadakan pameran kartunnya di Geneva, Switzerland.

Sekatan perjalanan itu dibatalkan pada 14 Mei lalu, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Tahun lalu, Zunar memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Jabatan Imigresen yang melarangnya ke luar negara, tetapi gagal. Beliau kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan, Januari lalu.

Beliau berlepas ke London Ahad lalu dan akan berada di United Kingdom (UK) sehingga awal bulan depan.

Beliau dijadualkan menghadiri 5 program dengan warganegara Malaysia di sana, selain menemui pegawai Amnesty International, esok dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan pada hari berikutnya.

Zunar akan diraikan dalam sebuah majlis khas anjuran warganegara Malaysia dalam rangkaian Penyokong PH UK di sebuah hotel, Sabtu ini.