Ismail Sabri: Tolak calon ‘sekapal’, amal politik wang

Ismail Sabri Yaakob berjanji untuk mendengar dan membawa suara akar umbi di peringkat tertinggi.

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata budaya lama dalam Umno seperti memilih pemimpin yang berada dalam satu “kapal” atau “rakit” serta mengamalkan politik wang perlu dibuang bagi memastikan pemulihan Umno berjaya.

Calon naib presiden Umno itu juga menafikan beliau terlibat dalam mana-mana pasukan dalam pemilihan Umno kali ini, sebaliknya meminta ahli menilai kredibiliti calon bertanding.

“Kita kena keluar dari budaya lama, dari segi berkapal. Pilih mereka yang ada integriti, pilih yang mampu bawa kecemerlangan kepada parti. Kalau dulu, siapa yang dalam satu kapal, sama ada elok atau tidak mesti dipilih.

“Akhirnya kita tidak dapat apa yang kita hendak sepenuhnya. Begitu juga budaya lama politik wang, kalau dulu politik wang agak biasa dalam Umno, akhirnya orang pilih wang dan bukan pemimpin.

“Bahkan bukan ‘team’ yang jadi keutamaan. Kita kata Umno parti terbuka, jadi pilih individu yang berkelayakan bukan kerana wang, rakit atau kapal,” katanya dalam wawancara bersama FMT sebelum ini.

Isu berpasukan seperti “kapal” dan “rakit” timbul apabila terdapat calon naib presiden dilihat memberi sokongan secara tidak langsung kepada calon presiden yang bertanding dalam pemilihan kali ini.

Ismail yang pernah berkhidmat dalam barisan kabinet Datuk Seri Najib Razak berkata, kegagalan segelintir pemimpin Umno mendekati akar umbi menyebabkan ahlinya hilang kepercayaan, malah gagal menarik minat golongan muda.

“Disebabkan itu, salah satu manifesto saya adalah untuk mendengar dan membawa suara akar umbi di peringkat tertinggi, kerana Umno selama ini sudah dilihat sebagai parti elitis.

“Suara akar umbi dilihat kurang didengari dan ramai mempunyai persepsi bahawa Umno adalah dari atas ke bawah, bukan dari bawah ke atas walaupun hakikatnya Umno adalah parti dimiliki rakyat,” katanya.

Ismail akan menentang calon naib presiden lain, antaranya Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Sheikh Razali Sheikh Ahmad.

Pandang rendah pemikiran rakyat

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap memandang rendah pemikiran rakyat di kawasan luar bandar dalam isu skandal 1MDB, saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan isu wang derma RM2.6 bilion juga antara punca Barisan Nasional (BN) diketuai Umno ditolak rakyat.

“Dulu kita anggap isu ini hanya di peringkat atasan dan golongan Melayu di bandar sahaja, disebabkan itu setiap kali turun ke kampung kita tidak pernah bawa isu ini.

“Kita beranggapan tidak perlu bawa isu-isu ini kerana orang kampung tidak peduli dan mungkin tidak faham, jadi tidak perlu jelaskan sedangkan anggapan itu salah.

“Kita anggap isu yang penting bagi orang kampung adalah isu kos sara hidup dan isu GST. Jadi sewaktu memberi penerangan di kampung-kampung, kita tidak terangkan walaupun mereka tidak membangkitkan isu-isu skandal ini namun ia kekal dalam fikiran mereka,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan ada fitnah dibangkitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu skandal, namun kegagalan menjawab fitnah berkenaan turut memberi kesan kepada Umno.

“Janji, kita cuba jadi ‘gentleman’, tidak ingin berikan janji tetapi bagi pengundi mereka lebih suka mendengar janji walaupun janji itu tidak mungkin ditepati.

“Maknanya, satu perkara lagi yang perlu dilihat oleh pemimpin dalam Umno bukan sahaja isu servis tetapi juga isu yang sangat mempengaruhi fikiran.”