Polis: Barang dirampas dari 6 premis dikaitkan Najib cecah RM1.1 bilion

Amar Singh menunjukkan gambar beg dirampas yang mengandungi barang kemas.

KUALA LUMPUR: Hasil pengiraan ke atas beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai yang dirampas daripada 6 premis berkaitan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB, bulan lalu berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata 567 beg tangan daripada 37 jenama, termasuk Hermes, Chanel, Prada dan Bijan yang semuanya berjumlah RM51.3 juta disita dalam rampasan terbesar dalam sejarah Malaysia itu.

“Bijan (ialah) beg ini ditempah khas, anda tak boleh dapatkan di pasaran. Ia adalah beg mahal. Beg-beg tersebut adalah berharga, ada yang berharga 1.6 juta dan seterusnya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK di Menara KPJ, hari ini.

Beliau berkata, wang tunai dalam 26 jenis mata wang yang ditemui dalam 35 beg dan rumah Najib di Taman Duta berjumlah RM116.7 juta.

“Ia memakan masa 3 hari untuk mengira wang itu dengan bantuan 22 pegawai Bank Negara menggunakan 6 mesin pengiraan wang,” katanya dalam sidang media di pejabat JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, hari ini.

Katanya, polis turut merampas 12,000 jenis barang kemas dalam 25 beg yang semuanya berjumlah RM440 juta, termasuk 1,400 utas rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 1,600 kerongsang, 2,800 pasang subang dan 14 tiara.

“Barang kemas termahal yang dirampas dari serbuan di premis berkaitan Najib ialah seutas rantai leher bernilai RM6.4 juta.”

Beliau berkata, harga itu hanya kos berlian dan emas yang tidak termasuk upah mereka bentuk dan pertukangan, di mana harga pasaran 50% hingga 100% melebihi harga kos dan ini bermakna angka sebenar mungkin berjumlah RM660 juta hingga RM880 juta.

“Bagi jam tangan pula…kami telah rampas sebanyak 423 utas jam tangan dengan jumlahnya sebanyak RM78 juta.

“Jenama ada lebih 100 jenama, jenama yang banyak ialah Rolex, Chopard, Richard Mile dan sebagainya dan kami mengambil masa selama 3 hari untuk membuat pengiraan bagi jam tersebut,” katanya sambil menambah 234 cermin mata berjumlah RM374,000 turut disita.

Katanya, 72 beg dan 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dirampas dalam serbuan pada 16 dan 17 Mei lalu ke atas 3 kondominium mewah di Kuala Lumpur, kediaman peribadi Najib di Taman Duta, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009, dalam siasatan kes 1MDB.

Amar Singh berkata, 8 pasukan khas yang terdiri daripada pakar dan 150 anggota polis ditubuhkan untuk menganalisa serta menilai barang rampasan itu dari 21 Mei hingga 21 Jun lalu.

“Ramai yang telah bertanya kenapa mengambil masa lama. Saya menjelaskan di sini sebab angkanya terlalu besar, dan ianya mengambil masa memang lama dan bagi memastikan integriti bukti (terjamin), kami perlu buat dengan perlahan dan berhati-hati.”

Ditanya jika ada tangkapan selepas ini, Amar Singh berkata: “Itu bukan pihak kami (yang akan buat tangkapan).”

Tetapi, katanya, polis akan memanggil Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat untuk membantu siasatan kes itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Beliau berkata, penyumbang semua barang rampasan itu sedang dikenal pasti dan akan dipanggil, serta polis sudah mengambil keterangan 30 individu sehingga kini bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Beliau berkata, belum ada orang yang tampil menuntut wang itu, termasuk ahli Umno dan wang tunai serta barang kemas itu kini disimpan di Bank Negara.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/25/polis-wang-tunai-rm114-juta-dalam-35-beg-dari-kondo-kl/