Umno perlu mohon maaf kepada rakyat Malaysia, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah (2 dari kiri) bersama pemimpin Umno Pulau Pinang iaitu Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir (kiri), Naib Ketua Wanita Umno Norliza Abdul Rahim (2 dari kanan) dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said.

BUTTERWORTH: Calon presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata pemimpin parti bermula dari akar umbi hingga pimpinan tertinggi perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan yang dilakukannya.

Veteran Umno berkata ini adalah sejajar dengan budaya Malaysia dan Islam yang mengajar mereka mengucapkan maaf atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

“Sekiranya saya boleh mempengaruhi ahli parti, melalui satu konsensus, saya ingin mengatur semua cawangan dan bahagian memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan yang telah kami lakukan, yang menyebabkan mereka marah kepada kami.

“Kami mudah berpuas hati dan kami mengabaikan tanggungjawab kami sebagai pemimpin. Ini menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Kami perlu memohon maaf kepada mereka supaya kita dapat memupuk hubungan yang lebih baik dengan mereka,” katanya ketika berucap pada perwakilan Umno Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak melihat sebarang alasan mengapa Umno tidak boleh memohon maaf, dan beliau berpendapat rakyat Malaysia akan memaafkan parti itu.

“Kami mesti berbuat demikian. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk berbuat demikian,” katanya.

Pertempuran untuk merebut jawatan presiden Umno menyaksikan ahli parlimen Gua Musang itu akan menentang beberapa calon antaranya, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Pemilihan parti akan diadakan Sabtu ini.

Ini adalah kali ke-2 Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li bertanding jawatan presiden. Beliau pertama kali bertanding pada 1987, menentang Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Tengku Razaleigh berkata Umno kalah teruk pada pilihan raya umum ke-14, menunjukkan penolakan jelas oleh rakyat, sambil menambah parti itu kini dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

“Semangat menurun. Ada yang memberitahu saya mereka tidak mempunyai semangat lagi untuk berjumpa dengan orang ramai. Yang lain pula berkata mereka tidak mahu terlibat dalam politik.

“Saya berasa sedih. Kami tidak mengalami kekalahan kecil. Kami kalah teruk. Jika sebelum ini kami kalah di Kelantan, kami berjaya mendapatkan Terengganu. Tetapi kali ini kami kehilangan kuasa di seluruh negara kecuali Sarawak. Kami berjaya kekal di negeri terkecil di negara ini (Perlis) dan negeri terbesar di Semenanjung (Pahang).

“Sememangnya, semangat menurun.”

Ahli parlimen Gua Musang itu berkata masih terdapat segelintir pihak yang menafikan dan enggan menerima bahawa parti itu ditolak oleh rakyat.

“Sesetengah orang menganggap ia perkara biasa, bahawa kami masih mempunyai kuasa dan kami masih berpengaruh.

“Tetapi keadaan telah berubah. Ia benar-benar teruk sekarang. Kita kehilangan banyak negeri. Kita perlu bangun dan berfikir perkara itu dengan teliti.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/10/ku-li-kita-kalah-tapi-umno-akan-kembali-lebih-kuat/