Bekal lembu hanya manifesto, bukan politik wang, kata Idris Haron

Idris Haron berkata beliau sudah 14 tahun membekalkan lembu kepada setiap cawangan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Idris Haron menafikan tuduhan ahli jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Tangga Batu mengatakan beliau mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti.

Calon ketua bahagian Umno itu berkata, tawaran untuk meneruskan peruntukan kepada cawangan Umno dan membekalkan lembu untuk setiap cawangan hanyalah manifesto.

“Saya kata, setiap tahun saya beri lembu korban pada cawangan. Saya kata bila saya menang saya akan teruskan perkhidmatan itu.

“Bahkan ia adalah untuk cawangan-cawangan dan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk satu cawangan, ini bukan politik wang, ini manifesto,” katanya kepada FMT.

Semalam, AJK Umno Bahagian Tangga Batu memohon Umno pusat membatalkan kelayakan Idris untuk mempertahankan jawatannya kerana didakwa menggunakan pengaruh wang bagi meraih sokongan perwakilan.

Bekas ketua menteri Melaka itu berkata, baginya politik wang adalah sogokan yang dibuat oleh pemimpin Umno kepada ahli sebelum pengundian dalam pemilihan.

“Politik wang adalah sogokan sebelum pemilihan. Saya tidak turun ke cawangan, politik rasuah ini juga termasuk dengan beri makan, saya pula tidak buat.

“Yang hendak melawan saya ini pakai otaklah. Bekalkan lembu bukan perkara baru, saya sudah bekalkan selama 14 tahun sebelum ini kepada setiap cawangan,” katanya.

Katanya, beliau yakin badan disiplin Umno bijak dalam mengurus dan mentadbir, malah percaya ketelusan badan disiplin Umno tidak serendah pemikiran AJK Bahagian Tangga Batu.

Idris yang juga bertanding untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau sendiri penentang politik wang dan menegaskan tidak pernah mengamalkannya.

“Saya adalah penentang politik wang, saya tidak pernah amalkan politik wang, saya tidak pernah bersetuju. Saya punya cara, saya bertanding MT, ketua bahagian.

“Pilihan pula di tangan anda, kalau fikir saya tidak baik, jangan bazirkan undi anda, jangan pilih saya. Namun saya tahu ada orang yang amalkan politik wang,” katanya.

Idris bagaimanapun tidak menafikan, tohmahan yang dilemparkan terhadapnya sedikit sebanyak akan menjejaskan peluangnya dalam pemilihan kali ini.

“Mungkin ada terjejas tetapi semuanya politik, saya adalah pejuang, tekanan ini tidak akan lemahkan semangat saya.

“Nanti apalah penyokong saya akan pandang saya. Saya akan tetap bertahan walaupun hanya ada seorang mengundi saya,” katanya.

Umno gesa kelayakan Idris Haron dibatalkan kerana sogok wang