
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dikaji semula untuk mengelak dijadikan alat politik, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata MKN merupakan satu mekanisme yang baik untuk negara tetapi tidak sepatutnya disalahgunakan.
“Kita akan lihat balik secara serius sama ada kita mahu mengekalkannya atau memansuhkannya,” katanya dalam wawancara bersama agensi media tempatan dan luar di Kementah.
Mohamad berkata beliau mahu pelaksanaan MKN tidak ditekan untuk menjadi alat menyokong parti politik.
“Misalnya perlu menyokong Amanah, DAP dan PPBM. Kita mahu MKN lebih patriotik untuk membawa Malaysia ke depan.
“Mereka perlu berkhidmat untuk negara sebelum menjadi alat politik,” kataya.
Akta MKN diluluskan pada Disember 2015 apabila 107 ahli Parlimen bersetuju, manakala 77 lagi menolak.
Ketika dibentangkan tahun lalu, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam rang undang-undang MKN perlu diperhalusi. Bagaimanapun, ia diwartakan tanpa mendapat perkenan Agong, berdasarkan pindaan 1993 yang diusahakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Akta yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.
Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.
Pindaan perlembagaan 1993 berlaku susulan krisis berpanjangan dengan istana selepas insiden seorang jurulatih hoki, Douglas Gomez, dikasari Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail dan puteranya Tunku Abdul Majid Idris.
Ia terus mencetuskan isu mengenai kekebalan raja-raja di bawah undang-undang sedia ada, dan disusuli media melaporkan pelbagai penyelewengan di pihak istana.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata pandangan peribadinya terhadap Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diteruskan dengan bajet yang rendah dan lebih efektif.
Beliau berkata program PLKN bagus dan tidak melihat ia sebagai satu program yang gagal.
“Semua kaum perlu sertainya walaupun kini majoriti semua Melayu. Kita mahu Cina, India dan etnik Sabah serta Sarawak sertai program ini, kita mahu lihat dengan serius program ini,” katanya.
Mohamad berkata beliau mahu orang muda mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan mencontohi negara seperti Jepun walaupun tidak 100%.
“Orang muda di Malaysia masih mempunyai sifat berani, nasionalis dan partriotik.
“Kita boleh tahu sebab bila negara menghadapi masalah rasuah, mereka bangun ubah negara.”