Malaysia Baru, tetapi PH perlu hidup dalam 2 dunia

Mohamad Abu Bakar berkata PH sukar melepaskan dunia lama. (Gambar laman UKM)

GOMBAK: Seorang ahli akademi berkata Pakatan Harapan perlu hidup dalam “2 dunia” pasca pilihan raya umum kerana isu Melayu dan Islam masih penting kepada pengundi.

Bercakap kepada FMT di tepian sebuah seminar analisis PRU14 hari ini, Prof Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya berkata kepentingan isu-isu itu terutama dalam kalangan pengundi Melayu menyebabkan pemimpin Melayu PH sukar melepaskan politik lama.

“Mereka tidak semestinya perlu menjadi Umno, tetapi ada ketika mereka perlu bawa isu Melayu atau hilang sokongan,” katanya di seminar anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ini kerana Islamisasi sudah berjalan sekian lama dan proses itu akan berterusan, mungkin membawa kepada sikap ortodoks yang semakin menebal.

“Pemimpin PH mungkin tidak akan menghala ke situ tetapi mereka sama sekali tidak boleh mengabaikannya,” katanya.

Beliau mengingatkan adakalanya pemimpin PH perlu memujuk para pengundi.

Felo penyelidikan kanan di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik UM itu merujuk kepada kecaman demi kecaman terhadap isu kenyataan media berbahasa Mandarin dari Menteri Kewangan Lim Guan Eng, termasuk daripada PH.

Beliau berkata tidak mudah untuk pemimpin Melayu dalam PH melepaskan “dunia lama”, kerana ramai yang mengundi PH pada pilihan raya lepas adalah orang Umno sendiri dan sokongan mereka bersifat sementara.

Sementara itu, pengkritik sosial Chandra Muzaffar, yang hadir di acara hari ini berkata politik kaum dan agama antara cabaran yang perlu dihadapi kerajaan PH.

Ini kerana gabungan pemerintah tidak mencerminkan realiti demografi negara ini walaupun ia bersifat pelbagai kaum, dan kali ini, pemerintah berdepan pembangkang majoriti Melayu.

“Isu kaum, agama dan bahasa mesti ditangani secara progresif dan tidak boleh dilihat seperti dilemahkan.”

Contoh isu sensitif ditangani secara progresif ialah pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam.

Sebelum ini Anwar dilaporkan berkata orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” asalkan ia tidak disalahgunakan. Ini selepas Kementerian Dalam Negeri melarang gereja Katolik menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitannya pada 2009.

“Jadi tanganilah isu tadbir urus dan ekonomi, tetapi dalam masa yang sama isu identiti, ras dan agama. Kedua-duanya penting,” katanya.