Najib pertikai nilaian barang rampasan

Najib berkata tidak tepat untuk membuat nilaian barangan rampasan berdasarkan harga runcit semasa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertikaikan nilaian RM1.1 bilion ke atas barangan rampasan dari beberapa premis yang dikaitkan dengannya sebagai sebahagian daripada siasatan 1MDB, menyifatkannya satu lagi serangan politik terhadap beliau dan keluarga.

Sambil mengatakan nilaian oleh polis itu sebagai subjektif, bekas perdana menteri berkata kebanyakan barangan itu hadiah yang dikumpul sejak berdekad lalu.

Menurutnya, keluarganya tidak tahu berapa yang dibayar oleh mereka yang menghadiahkan barangan itu kepada mereka.

“Sebarang nilaian berdasarkan harga pasaran dan pada harga semasa tidak realistik, kemungkinan sudah melambung tinggi dan memberikan gambaran yang salah memandangkan barangan-barangan ini hadiah yang diterima dalam tempoh beberapa dekad,” katanya dalam kenyataan.

Najib berkata, contohnya, polis menyatakan dalam sidang akhbar mereka, jam tangan paling mahal ialah Rolex Daytona yang mana mereka katakan bernilai pada RM3.4 juta.

Katanya, jam tangan itu ialah hadiah bersama beberapa barangan bernilai lain, diberikan oleh menteri dalam negeri yang juga putera sebuah negara Timur Tengah, yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini.

Najib berkata polis harus juga menyatakan, barangan ini dan yang rampasan lain, terletak dalam satu kotak dengan lambang negara asing.

“Fakta ini harus diambil perhatian.

“Samalah juga dengan hutang negara yang dikatakan sangat tinggi, jumlah dan nilai barangan rampasan yang dikatakan sangat tinggi, dan juga sidang akhbar yang nampak seperti dendam dan serangan politik terhadap keluarga saya.”

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, mendedahkan nilai keseluruhan barangan yang dirampas dalam serbuan dianggarkan pada RM900 juta sehingga RM1.1 bilion.

Selain jam tangan, barangan rampasan lain termasuklah wang tunai RM116.7 juta, 12,000 barang kemas, 14 tiara, dan 234 pasang kaca mata.

Najib berkata kebanyakan barangan rampasan diambil daripada kotak yang dilabel dengan penerangan, gambar, tarikh hadiah itu diberikan dan identiti individu yang menghadiahkannya.

Bekas presiden Umno itu berkata keluarganya akan membantu polis mengenal pasti mereka yang menghadiahkan barangan itu sejak beberapa dekad lalu.

Polis melaksanakan serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum 9 Mei, termasuk di sebuah unit kondominium mewah di Pavilion dan kediamannya di Langgak Duta.

Polis juga membuat serbuan di pejabatnya dan kediaman rasminya di Putrajaya.