NGO gesa bahas perjanjian trans pasifik baru di Parlimen

Martin Khor berkata keperluan TPP baru boleh dipertikaikan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Badan aktiviti yang mengkaji isu perdagangan, Third World Network, menggesa kerajaan membahaskan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP), di Parlimen.

Penasihatnya, Martin Khor berkata keperluan TPP baru boleh dipertikaikan kerana Malaysia sudah mempunyai perjanjian 2 hala dengan beberapa negara terlibat.

“Tarikan utama TPP iaitu pasaran Amerika Syarikat telah tiada. Walaupun ada pasaran di Jepun, Australia dan Singapura tetapi kita sudahpun ada perjanjian perdagangan bebas 2 hala (dengan mereka). Jadi dari segi perdagangan kita tidak dapat sebarang kelebihan lain dengan TPP ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.

Semua negara yang terlibat dan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) bersetuju untuk merombak semula perjanjian asal selepas Amerika Syarikat menarik diri selepas Donald Trump menjadi presiden kuasa ekonomi dunia itu.

Dijenamakan semula sebagai CPTPP, rundingan perjanjian baru ini melibatkan Jepun, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chila, Vietnam dan Singapura.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mahu mengkaji semula perjanjian baru itu kerana percaya ia tidak memberi kelebihan kepada negara kecil seperti Malaysia.

Martin juga menyarankan kerajaan meneliti semula perjanjian pelaburan 2 hala (BIT) yang ditandatangani dengan negara lain dengan melibatkan semua sektor.

“Kini banyak negara sedang meneliti semula kerana berpandangan ia tidak adil dan memihak kepada pelabur asing,” katanya.