TRX: Kerajaan salur RM2.8 bilion siapkan projek secara berperingkat

CEO TRX Azmar Talib berkata dana itu akan diberikan mengikut perancangan pelaksanaan projek sehingga siap pada 2024.

KUALA LUMPUR: Dana berjumlah RM2.8 bilion yang disalurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada projek Tun Razak Exchange (TRX) akan diberikan secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX, Datuk Azmar Talib berkata langkah itu dibuat bagi memastikan tidak berlakunya penyelewengan dana dan pengurusannya telus.

“Jika sesuatu dana itu diberikan kepada kami, kami akan pastikan ia berada dalam keadaan baik. Oleh itu jumlah RM2.8 bilion yang akan diberikan pihak kerajaan kepada kami, akan diberikan mengikut perancangan pelaksanaan projek sehingga siap pada 2024.

“Kerajaan tidak akan berikan dana tersebut secara sekaligus RM2.8 bilion untuk keseluruhan projek, tetapi ia akan disalurkan secara berperingkat mengikut perancangan yang ditetapkan sehingga ia siap sepenuhnya 2024,” katanya pada majlis taklimat media perkembangan terkini projek TRX.

Azmar bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci berapa jumlah yang telah diberikan kerajaan daripada RM2.8 bilion itu.

Minggu lalu, kerajaan PH memutuskan untuk menyuntik RM2.8 bilion bagi menyiapkan projek TRX, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, atau perlu membayar pampasan sebanyak RM3.5 bilion.

“Keputusan ini akan membantu mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing yang sudah melabur berbilion ringgit, mengenai nasib TRXC,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menambah keputusan itu dibuat Kabinet, walaupun lebih RM3 bilion dana kerajaan diseleweng dari syarikat itu oleh 1MDB.

Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat TRX berhubung pemindahan kira-kira RM3 bilion daripada dananya kepada 1MDB dalam masa 5 tahun, Azmar berkata pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Kita akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis untuk teruskan siasatan ini.

“Saya tidak boleh ulas lebih sebab dalam siasatan, apa yang berlaku di luar TRX saya tidak tahu apa-apa,” katanya.

Pemaju TRX pada 25 Jun lalu membuat laporan polis berhubung pemindahan kira-kira RM3 bilion daripada dananya kepada 1MDB dalam masa 5 tahun.

TRX berkata, pemindahan itu dibuat berdasarkan arahan 1MDB dan “dilencongkan daripada kegunaan asalnya”.

Bagaimanapun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan wang TRX disalahgunakan 1MDB.

Sebaliknya, beliau berkata, kira-kira RM3 bilion pinjaman antara syarikat dibuat dari semasa ke semasa oleh TRXC kepada 1MDB dan ia dibayar balik 1MDB berkuatkuasa 31 Mac 2017, melalui gabungan bayaran tunai terhadap dividen yang dibayar TRXC kepada 1MDB.

TRX yang terletak di tanah seluas 70 ekar di tengah-tengah ibu kota, disebut-sebut akan menjadi pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa utama.

Ia adalah 1 daripada 2 projek hartanah utama di bawah payung 1MDB dimiliki TRXC, satu lagi ialah projek pembangunan Bandar Malaysia di tanah seluas 486 ekar.

Pemaju TRX lapor polis RM3 bilion diseleweng 1MDB

Putrajaya tiada pilihan kecuali suntik RM2.8 bilion siapkan projek TRX