Akta MKN langgar perlembagaan, kata bekas hakim

Gopal Sri Ram berkata kerajaan mesti memansuhkan Akta MKN jika ia menghormati kedaulatan undang-undang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang hakim bersara menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas menteri pertahanan semalam mengumumkan untuk mengkaji semula agensi itu bagi mengelak ia menjadikan alat politik.

Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata MKN tidak berperlembagaan dan mesti dimansuhkan kerana ia tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

Beliau menambah undang-undang persekutuan yang meminda perlembagaan untuk menghapuskan persetujuan raja-raja dalam keadaan tertentu adalah tidak berperlembagaan.

“Juga, MKN adalah peraturan keselamatan dan mesti mematuhi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekiranya kerajaan mahukan undang-undang sedemikian, katanya, ia mesti dipinda semula untuk mematuhi perlembagaan.

“Pentadbiran sebelum ini jelas tidak menghormati kedaulatan undang-undang. Kerajaan PH sekarang menghormati kedaulatan undang-undang. Oleh itu ia sepatutnya bertindak dengan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Mohamad Sabu berkata kerajaan akan melihat dengan serius sama ada MKN dikekalkan atau dimansuhkankan.

Beliau juga mahu pelaksanaan MKN tidak ditekan untuk menjadi alat menyokong parti politik.

Akta MKN diluluskan pada Disember 2015 apabila 107 ahli Parlimen bersetuju, manakala 77 lagi menolak.

Ketika dibentangkan tahun lalu, Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam rang undang-undang MKN perlu diperhalusi. Bagaimanapun, ia diwartakan tanpa mendapat perkenan Agong, berdasarkan pindaan 1993 yang diusahakan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akta yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memerlukan MKN untuk menyediakan kuasa yang mencukupi bagi pasukan keselamatan dan semua agensi kerajaan berkaitan untuk bertindak balas terhadap ancaman terhadap keselamatan negara.

Manakala pemimpin PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Akta MKN dengan perbicaraan kes ini masih berjalan di Mahkamah Persekutuan.

Majlis Keselamatan Negara tak patut jadi alat politik, kata Mat Sabu