Akta MKN sama sekali tak perlu, kata kumpulan peguam

Latheefa Koya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Satu kumpulan hak asasi manusia menggesa kerajaan jangan memungkiri janji memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (Akta MKN) selepas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membayangkan undang-undang kontroversi itu mungkin akan dikekalkan walaupun ia ditentang Pakatan Harapan.

Lawyers for Liberty (LFL) berkata akta itu bukan sahaja membawa kepada salahguna kuasa tetapi juga keperlembagaannya boleh dipertikaikan kerana kesamaran takrif.

“Harus ada sebab yang munasabah dan justifikasi yang kuat jika mahu memungkiri janji-janji manifesto. Dalam hal ini, sama sekali tidak ada kewajaran,” kata Pengarah Eksekutif Latheefa Koya.

Akta itu diluluskan di Parlimen pada penghujung 2015 walaupun dibantah pemimpin-pemimpin pembangkang, menyifatkan ia hukuman mati ke atas demokrasi.

Akta itu antara lain memberi kuasa kepada MKN untuk mengisytiharkan darurat di satu-satu kawasan, memberikan kuasa luas kepada pasukan keselamatan untuk menangkap dan melakukan pemindahan paksa. Anggota-anggota MKN juga dilindungi daripada pendakwaan.

Walaupun akta itu ditentang PH, Mohamad membayangkan kerajaan akan menentukan sama ada undang-undang itu akan dikekalkan atau dimansuhkan.

Perkembangan itu mengundang bantahan daripada kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia yang menggesa kerajaan menunaikan janji memansuhkan akta itu.

Hakim bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram juga berkata akta itu tidak berperlembagaan.