Guan Eng: Kami akan jual barang kemas, mewah dirampas dari Najib

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menunjukkan gambar barang rampasan di premis yang dikaitkan dengan Najib Razak pada 27 Jun lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan berkata kerajaan akan menjual barang kemas dan mewah yang dirampas daripada Datuk Seri Najib Razak.

“Kami akan cuba menjual barang rampasan itu untuk mendapatkan wang, tetapi perlu diingatkan ia tidak boleh dibandingkan dengan jumlah yang dirompak dari negara,” katanya dipetik Associated Press.

Rabu lalu, polis mendedahkan wang tunai dan barang berharga bernilai lebih RM1 bilion dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, termasuk kediaman peribadinya di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Ia termasuk 12,000 jenis barang kemas, lebih 1,000 beg tangan berjenama, 234 cermin mata dan wang tunai sebanyak RM116.7 juta.

Lim menyifatkan nilai barang rampasan itu “setitik air di laut” berbanding kerugian dihadapi 1MDB milik Kementerian Kewangan.

Tetapi, katanya, jumlah itu adalah banyak buat sebuah “negara kecil” seperti Malaysia.

“Bayangkan jika jumlah itu ditemui atau didedahkan di Amerika Syarikat, ia membimbangkan walaupun untuk sebuah negara kaya seperti Amerika Syarikat,” katanya sambil menambah pendedahan itu “sangat mengejutkan”.