Hapus sistem lesen import, turunkan harga makanan, kata Fomca

Fomca berkata pengguna dapat menikmati harga lebih rendah jika sistem lesen import dihapuskan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini menggesa pihak berkuasa menghapuskan sistem lesen import (AP) bagi barangan makanan dan menggantikannya dengan sistem import lebih terbuka yang akan memberi manfaat kepada pengguna melalui harga lebih rendah.

Setiausaha agung Fomca, Paul Selvaraj dalam satu kenyataan berkata peruncit tidak dapat mengimport banyak barangan makanan melainkan melalui pemegang AP.

“Pemegang AP akan mengenakan fi tertentu tanpa apa-apa penambahan nilai dan bayaran ini akan dipindahkan kepada pengguna. Tambahan kos ini terpaksa dibayar oleh pengguna melalui harga lebih tinggi.

“Fomca berjumpa beberapa syarikat peruncit yang percaya mereka boleh mengimport barangan makanan lebih murah dan memindahkan penjimatan itu kepada pengguna.

“Tetapi sistem AP memaksa mereka membeli hanya daripada pemegang AP menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk barangan makanan perlu.”

Paul meminta kerajaan mengenal pasti sistem AP bagi barangan makanan dan keperluan di beberapa kementerian, dan berkata, Fomca gagal mendapatkan senarai lengkap pemegang AP dalam kumpulan itu.

“Langkah bagi menghapuskan sistem AP bagi barangan makanan hendaklah diambil. Kami percaya pemansuhan sistem tersebut dan pengenalan sistem import lebih terbuka akan memberi manfaat kepada pengguna melalui harga lebih rendah.”

Awal bulan ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, kerajaan mahu memecahkan monopoli Padiberas Nasional Bhd ke atas bekalan beras di negara ini.

Beliau berkata ini akan dilakukan dengan mengeluarkan lesen sama kepada beberapa syarikat lain.

Katanya beliau akan membincangkan perkara itu di peringkat kementerian sebelum mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet.

Paul menyambut baik kenyataan itu dan berkata Fomca menyokong penuh langkah penghapusan monopoli beras dan gula.

“Bagaimanapun langkah itu tidak mencukupi,” kata Paul.

Beliau juga meminta kerajaan mengkaji keseluruhan rantaian perbekalan makanan, dan mendakwa wujud kegiatan penetapan dan manipulasi harga yang meluas di pelbagai peringkat.

Ini katanya, mengganggu harga barangan makanan menjadikannya lebih tinggi.

Paul berkata, Fomca sejak sekian lama mencadangkan sebuah suruhanjaya persaingan untuk mengkaji rantaian perbekalan makanan bagi memastikan pasaran yang bebas dan akan menurunkan harga.

“Kami berharap kerajaan akan meihat peranan Suruhanjaya Persaingan bagi memastikan ia memenuhi tugasnya membebaskan pasaran dan menghapuskan semua bentuk tingkah laku monopolistik bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna,” katanya.