Kajian: Ku Li kejar Zahid dalam saingan presiden Umno

PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi pilihan ramai untuk memenangi jawatan presiden Umno esok, selepas kekalahan mengejut parti itu dalam pilihan raya umum ke-14 dengan ada yang mendesak muka baru mengambil alih pucuk pimpinannya, menurut kajian badan pemikir Ilham Centre.

Kajian itu menunjukkan Zahid mendapat 51% sokongan bahagian, disusuli Tengku Razaleigh Hamzah (35%) dan Khairy Jamaluddin (6%), manakala sokongan 8% perwakilan bahagian masih tidak jelas.

Tetapi, Ilham Centre berkata, Razaleigh yang merupakan veteran Umno dari Kelantan sedang mengejar Zahid kerana orang lama yang sudah bersara kembali mempengaruhi perwakilan.

Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata sentimen itu tidak memihak kepada Zahid dan Khairy, bekas ketua Pemuda Umno.

“Fenomena menyalahkan kepimpinan lama, termasuk Zahid Hamidi dan Khairy menyebabkan laluan Ku Li untuk diterima semakin meningkat dari hari ke hari.

“Ini bukanlah kerana kekuatan hala tuju Ku Li, tetapi lebih kepada sentimen dan emosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian selama 8 hari sejak 21 Jun lalu hingga semalam itu yang membabitkan 581 perwakilan Umno dari 101 bahagian di Semenanjung Malaysia, turut mendapati perwakilan mula kritikal terhadap pucuk pimpinannya.

“Moral ahli dan perwakilan Umno jelas berada di tahap paling rendah,” kata Hisommudin.

Zahid dicabar Razaleigh dan Khairy dalam pertandingan jawatan presiden Umno yang pertama sejak pemilihan pada 1987 yang memecahbelahkan parti itu, di mana Razaleigh kalah tipis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ilham Centre berkata, 2 lagi calon presiden Umno yang kurang dikenali – Mohamed Iqbal Maricair dan Yusof Musa @ Jamaluddin, tidak akan memberi kesan kepada keputusan pemilihan parti esok.

Hisommudin berkata, walaupun Khairy dan Razaleigh berjanji untuk meremajakan parti, ramai perwakilan akan mengundi Zahid untuk kesetiaannya kepada Umno.

“Ini berasaskan pandangan akar umbi yang melihat Zahid Hamidi adalah seorang pemimpin yang setia dan telahpun teruji dalam perjuangan Umno,” katanya sambil menambah imej “beragama” Zahid ialah satu daripada faktor beliau popular dalam kalangan ahli parti itu.

Sementara itu, Hisommudin berkata, perwakilan Umno melihat Razaleigh sebagai pemimpin berpengalaman dan calon terbaik untuk berdepan Dr Mahathir.

Katanya, penyokongnya menganggap beliau pemimpin “bersih daripada skandal” dan tidak terpalit dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.