KWSP benar caruman sukarela, fleksibel mulai 1 Julai

Opsyen untuk mencarum secara sukarela adalah selaras dengan agenda persaraan yang inklusif kerana ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja sendiri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan had minimum RM50 bagi bayaran caruman sukarela oleh anggota berkuatkuasa 1 Julai ini.

Ini akan membolehkan mereka memberi sumbangan dalam mana-mana amaun, pada bila-bila masa, kata tabungan pencen terbesar negara dalam satu kenyataan.

“Sedikit simpanan yang diketepikan pada hari ini bakal memastikan kesejahteraan persaraan anggota kami pada masa hadapan.

“Oleh itu, kami mahu memastikan anggota dapat menyumbang dalam mana-mana amaun, pada bila-bila masa, dalam lingkungan kemampuan kewangan mereka melalui kelonggaran yang diperkenalkan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish.

Bagaimanapun amaun maksimum terkumpul yang boleh disumbangkan ke dalam setiap akaun masih dihadkan kira-kira RM60,000 setahun.

Anggota KWSP boleh menyumbang secara sukarela untuk akaun mereka sama ada melalui Skim Persaraan 1Malaysia, Skim Caruman Pilihan Sendiri atau Caruman Penambahan Simpanan.

Mohd Naim berkata, opsyen untuk mencarum secara sukarela adalah selaras dengan agenda persaraan yang inklusif kerana ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.

“Bukan warganegara Malaysia dengan permit kerja yang sah juga boleh menyumbang secara sukarela dengan mendaftar sebagai anggota,” katanya.

Menurut KWSP, sebagai tambahan kepada pemansuhan sumbangan minimum RM50, anggota dapat menyumbang ke dalam Akaun 1 dimiliki oleh anak mereka yang menjadi anggota KWSP melalui Caruman Penambah Simpanan.

Sebelum ini, skim tersebut hanya membenarkan anggota KWSP menyumbang kepada akaun 1 milik ibu bapa atau pasangan mereka.

Untuk maklumat lanjut, anggota boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP pada talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau lawati mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.