Siasat Guan Eng bawah Akta Hasutan, kata bekas KP Dewan Bahasa

Datuk Awang Sariyan mahu Menteri Kewangan Lim Guan Eng disiasat bawah Akta Hasutan.

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Awang Sariyan menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng disiasat bawah Akta Hasutan kerana tindakannya mengeluarkan kenyataan “rasmi” dalam bahasa Mandarin baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan Lim mencabar asas pembentukan negara, kerana kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termaktub dalam Perlembagaan.

Awang melihat ada bahaya daripada tindakan Lim kerana isu itu boleh memecah-belahkan unsur-unsur kenegaraan.

“Kalau dulu sudah dijadikan asas kontrak sosial perjanjian masyarakat pelbagai kaum maka tidak harus timbul. Dalam konteks kerajaan baru, kita harus tekad bukan buat satu pembaharuan yang menyimpang Perlembagaan,” katanya.

Awang ditemui pemberita di satu tunjuk perasaan di Masjid Putra hari ini. Beliau berhimpun bersama kirai-kira 20 orang peserta termasuk tokoh seperti bekas speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Abu Zahar Ujang; bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar; bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Hasan Mad.

Selepas menunjuk perasaan, mereka bergerak ke Kementerian Kewangan untuk menyerahkan memorandum kepada menteri. Memorandum diterima oleh Setiausaha Bahagian Kewangan, Suhaili Ahmad.

Orang ramai membidas Lim mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian pada Khamis minggu lalu. Mereka berkata Lim sepatutnya mengutamakan bahasa kebangsaan memandangkan dia seorang menteri persekutuan.

Lim ketika itu berkata kenyataan menteri akan terus dikeluarkan dalam bahasa Mandarin, selain bahasa Melayu dan Inggeris, kerana melambangkan pengiktirafan Pakatan Harapan kepada aspek kepelbagaian bahasa.

Dia hanya mengundang lebih banyak kritikan, termasuk daripada pemilik rangkaian pasar raya Ameer Ali Mydin, peguam terkenal Azhar Harun dan bekas menteri Tan Sri Rais Yatim.

Lim akhirnya akur dengan kritikan terhadapnya dan berkata kenyataan rasmi kementerian hanya akan diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan.

Hanif Omar hari ini berkata seorang nasionalis harus berpegang kepada Perlembagaan termasuk peruntukannya tentang bahasa Melayu.

“Menteri yang melanggar ini harus ditentang kerana dia sepatutnya mengagungkan Perlembagaan dan dia pun dah ambil sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata bantahan ini bagi mengingatkan menteri supaya sedar akan tanggungjawab mereka.

“Kalau kita tak bantah dia tak sedar jadi kita mesti bantah supaya dia sedar dan balik ke pangkal jalan,” katanya.

Guan Eng akur kritikan, akan guna Mandarin untuk media Cina

Apa? Ini ‘Malaysia barulah’, Guan Eng pertahan guna Mandarin dalam kenyataan kerajaan