Raja Nong Chik lepas jawatan, sokong Ku Li sebagai presiden

Untuk pemilihan kali ini, Nong Chik berkata, beliau memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden Umno bagi menggantikan Najib.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memutuskan untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua Umno Bahagian Lembah Pantai dan menyerahkannya kepada timbalan beliau, Datuk Ramlan Askolani.

Nong Chik berkata, keputusan itu diambil setelah menyedari dirinya ditolak pengundi di Parlimen Lembah Pantai serta mengambil tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

“Saya sudah 33 tahun dalam Umno, 2 kali bertanding sebagai wakil rakyat, rakyat sudah tolak 2 kali di Lembah Pantai. Saya juga sudah berkhidmat sebaik mungkin dahulu sebagai menteri wilayah dan ketua Umno Bahagian.

“Saya mahu beri laluan kepada orang muda, sebab kita perlu kuatkan sokongan pada orang muda bukan sahaja di Lembah Pantai tetapi di seluruh negara. Kita kalah kerana golongan muda menolak Umno-BN,” katanya kepada FMT.

Nong Chik berkata, selepas ini beliau akan memberikan lebih tumpuan kepada keluarga, perniagaan dan agama, selain terus membantu Umno di belakang tabir.

“Sudah sampai masanya, umur saya juga 65 tahun. Keputusan ini patut dibuat oleh pucuk pimpinan parti di semua peringkat. Bila dah sampai tahap orang sudah tolak, sedikit sebanyak saya kena bertanggungjawab.

“Saya sedar sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, saya tidak beri teguran sepatutnya kepada pucuk pimpinan, sedikit sebanyak saya ambil tanggungjawab.

“Dahulu, jika kita tegur Datuk Seri Najib Razak betul-betul, mungkin dia akan dengar. Harapan saya dengan kepimpinan baru ini cara politik Umno tidak lagi menjadikan pucuk pimpinan dan presiden seperti ‘sultan’,” katanya.

Untuk pemilihan kali ini, Nong Chik berkata, beliau memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah sebagai presiden Umno bagi menggantikan Najib.

“Walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah kawan lama saya, tapi saya sokong pada perubahan, di Lembah Pantai kita terbuka untuk perwakilan pilih.

“Pilihan saya adalah Ku Li. Namun saya ingatkan supaya jangan tinggalkan Khairy Jamaluddin kerana dia perlu main peranan untuk golongan muda, dia (Zahid) juga patut ikut saya, bersara,” katanya.