Umno mohon SPRM benarkan guna wang dalam akaun dibekukan

Zahid Hamidi berharap SPRM memberi pertimbangan sewajarnya kerana wang itu akan digunakan untuk membayar gaji, sewa dan kos pentadbiran lain. (Gambar Bernama)

BAGAN DATUK: Umno mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggunakan sebahagian wang dalam akaun parti yang dibekukan, bagi tujuan pentadbiran dan pembayaran gaji.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama barisan peguam dilantik mengemukakan permohonan itu kepada SPRM semalam.

Menurutnya, permohonan itu dibuat untuk menanggung perbelanjaan yang ditentukan setiap bulan.

“Kita harap SPRM memberikan pertimbangan sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbiran lain dapat terus diberikan pertimbangan kerana ia bukan digunakan untuk lain-lain tujuan,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk hari ini.

Semalam, laporan media menyebut SPRM didakwa membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB, termasuk akaun milik Umno.

Di Alor Setar, Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta SPRM membenarkan pengeluaran sebahagian wang daripada akaun Umno negeri untuk membayar gaji kakitangan.

Menurutnya, tindakan membekukan akaun Umno pusat dan Kedah yang turut melibatkan akaun di 15 peringkat bahagian negeri menyebabkan parti itu tidak mempunyai sumber kewangan bagi tujuan perbelanjaan.

“Kalau beku, mana kita nak ambil duit untuk bayar gaji bulanan pekerja yang bekerja dengan pejabat Umno dan bila tiada duit, kita terpaksa buang pekerja. Jadi, kita minta SPRM benarkan Umno keluarkan sebahagian wang yang ada dalam akaun.”

Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, Umno perlu mencari jalan penyelesaian terutama melibatkan aspek kewangan selepas akaun parti dibekukan.

Bekas menteri besar Perak itu berkata, pembekuan akaun itu dilihat mampu merencatkan pergerakan parti, termasuk untuk mengadakan mesyuarat yang memerlukan wang.

“Saya harap usaha untuk kita gerakkan semula ataupun untuk dapatkan semula perbelanjaan perlu kerana segala-galanya kita letakkan dalam akaun tersebut.

“Saya lihat ahli Umno begitu tabah dan bagi saya biarlah proses itu berjalan kerana itu adalah keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya selepas persidangan perwakilan Umno Bahagian Lumut hari ini.

Di Kuala Nerus, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada SPRM bagi menyiasat akaun parti itu.

Menurutnya, sepanjang menerajui Umno Terengganu, sumber kewangan yang diperoleh adalah daripada Umno Pusat.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini, SPRM atau mana-mana bank belum memaklumkan pembekuan akaun Umno negeri.

Di Melaka, Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Idris Haron juga menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa, jika ada siasatan berhubung akaun bank Umno negeri itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menerima sebarang notis ataupun arahan siasatan, tetapi sebagai persediaan, 6 peguam bertauliah dilantik sebagai pemegang amanah kepada sebahagian harta mudah alih dan tetap Umno Melaka bagi menghadapi kemungkinan dirampas atau dibekukan.