Unicef sertai bantahan perkahwinan kanak-kanak, gesa Putrajaya bertindak

Foto kanak-kanak dalam majlis perkahwinannya mendapat bantahan ramai rakyat Malaysia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) hari ini menyertai bantahan terhadap perkahwinan kanak-kanak selepas foto majlis perkahwinan antara seorang lelaki berusia 41 tahun dengan pasangannya berumur 11 tahun tular di media sosial, sekali gus memperbaharui perbahasan mengenai perkahwinan kanak-kanak.

“Jika benar, ia amat mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali” kata wakil Unicef ke Malaysia, Marianne Clark-Hattingh. “Ia bertentangan dengan kepentingan kanak-kanak ini dan pencabulan haknya.”

Beliau mengulangi gesaan supaya undang-undang dipinda, dan berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan isu itu bagi memastikan umur perkahwinan minimum ditetapkan pada 18 tahun ‘tanpa kecuali’.

Clark-Hattingh berkata, baru minggu lepas 50 pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Unicef mengeluarkan kenyataan menggesa tindakan segera di ambil berkenaan perkahwinan kanak-kanak.

Beliau berkata, berdasarkan banci Malaysia 2000, terdapat 6,800 perempuan dan 4,600 lelaki di bawah umur 15 tahun berkahwin. Banci 2010 tidak meliputi data sedemikian.

Di Malaysia terdapat 6,246 permohonan perkahwinan kanak-kanak Islam, dan 2,775 kes perkahwinan kanak-kanak bukan-Islam antara 2010 dan 2015.

Had umum minimum perkahwinan di bawah undang-undang sivil ialah 18 tahun, sementara Mahkamah Syariah diberi kuasa membenarkan perkahwinan pasangan Islam berumur 16 tahun atau kurang.

Dalam reaksinya terhadap isu sama, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, beliau meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiasat perkara itu.

Wan Azizah yang juga merupakan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, penyiasatan menyeluruh akan dijalankan kerana “ia melibatkan Enakmen Syariah negeri”.

“Kita juga perlu melihat kenapa ia berlaku. Apakah ia disebabkan kemiskinan, pendidikan, isu keluarga atau masalah lain,” katanya.

Menurut laporan, foto yang tular di media sosial tersebut dipercayai dinaikkan oleh salah seorang isteri lelaki yang mengahwini kanak-kanak itu sebagai isteri ketiga beliau.

Lelaki itu yang mempunyai 6 anak dengan 2 isterinya dipercayai seorang penoreh getah, sementara kanak-kanak berkenaan berasal dari selatan Thai.

Beliau berkata, kanak-kanak itu akan terus tinggal bersama keluarganya, dan perkahwinan tersebut hanyalah “nikah gantung”.

Katanya, beliau merujuki “orang berilmu” di Thailand sebelum menghwini kanak-kanak itu.