Zahid, Khairy bersaing sengit jawatan presiden Umno, Ku Li ketinggalan

Zahid Hamidi mendahului pertandingan 5 penjuru jawatan presiden Umno dengan 58 undi setakat 8.18 malam, disusuli Khairy Jamaluddin dengan 47 undi.

PETALING JAYA: Pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih mendahului pertandingan 5 penjuru untuk jawatan tertinggi parti itu, setakat 8.18 malam ini.

Zahid mendapat 58 undi, disusuli Khairy Jamaluddin dengan 47 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah 22 undi.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, Datuk Seri Mohamad Hasan meraih 27 undi berbanding Tan Sri Annuar Musa 16 undi, setakat 8.19 malam ini.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului pertandingan 7 penjuru naib presiden Umno dengan 16 undi.

Ia disusuli bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15 undi), bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (14 undi) dan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin (13 undi).

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula mendapat 12 undi dan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said jauh ketinggalan dengan hanya 1 undi.

Kira-kira 146,000 perwakilan daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara mengundi sejak pagi tadi dan proses mengundi tamat kira-kira 5 petang di sesetengah bahagian.

Setakat ini, keputusan tidak rasmi Umno menunjukkan 110 bahagian sudah mengundi.

Pemilihan Umno ditangguhkan sejak 2016 bagi membolehkan parti itu menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Jawatan presiden Umno menjadi tumpuan, selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan itu pada 12 Mei lalu atas kekalahan parti itu dan Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.

Jawatan presiden Umno menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara Zahid, Khairy, Razaleigh dan 2 calon kurang dikenali, ahli Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli Umno Bahagian Iskandar Puteri, Yusof Musa @ Jamaluddin.

Ini adalah kali pertama jawatan presiden dipertandingkan sejak pemilihan pada 1987 yang memecahbelahkan parti itu, di mana Razaleigh kalah tipis 43 undi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.