Bekas MB Johor Khaled menang jawatan naib presiden Umno

Khaled Nordin memenangi slot ke-3 jawatan naib presiden Umno hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin disahkan sebagai naib presiden ke-3 Umno, selepas mengalahkan bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam pertarungan sengit.

Dua lagi naib presiden yang diumumkan lewat malam tadi adalah bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika membuat pengumuman itu berkata, keputusan untuk ahli Majlis Tertinggi belum dimuktamadkan kerana 4 bahagian di Kelatan perlu melakukan pengiraan semula undi.

Malam tadi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disahkan sebagai presiden Umno yang baru dan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ialah timbalannya.

Zahid menewaskan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah.

Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat pula menewaskan bekas ketua penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dalam pertarungan satu lawan satu.