Imigresen: Zahid tak disenarai hitam keluar negara

Mustafar Ali (tengah) menyertai Ops Mega 3.0 menggempur pendatang asing tanpa izin di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen mengesahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiada dalam senarai hitam dilarang keluar negara, walaupun presiden Umno baru itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dah semak dengan ketua pesuruhjaya SPRM (Datuk Seri Mohd Shukri Abdull), beliau kata tiada apa-apa permintaan atau arahan daripada mereka (untuk senarai hitam Zahid),” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali selepas menyertai Ops Mega 3.0 menahan pendatang asing tanpa izin di Lebuh Pudu, hari ini.

Hari ini, Zahid mengesahkan SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan esok berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan milik ahli keluarganya.

Katanya, dana yayasan itu adalah sumbangan beliau sendiri serta beberapa rakan untuk tujuan kebajikan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan siasatan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang pemimpin tertinggi Umno disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan itu untuk membayar bil kad kredit miliknya dan isteri sejak 2014 hingga 2016.

Akhbar itu melaporkan pemimpin itu ialah menteri kanan dalam Kabinet bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, Zahid ialah pengerusi yayasan itu dan rekod menunjukkan ia ditubuhkan pada 1977 dengan matlamat menerima serta menguruskan dana bagi membasmi kemiskinan.

Zahid sahkan dipanggil SPRM siasat yayasan keluarga