Isu kahwin bawah umur: Wan Azizah jumpa agensi berkaitan esok

Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat itu dipanggil demi kepentingan terbaik kanak-kanak berusia 11 tahun itu yang menjadi isteri ke-3 lelaki dari Gua Musang, Kelantan.

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan esok, berhubung isu perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan seorang lelaki Malaysia berusia 41 tahun.

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, mesyuarat itu antaranya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Mahkamah Syariah, demi kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit.

“Apa yang kita nak lakukan adalah pertemuan dengan JKM, Mahkamah Syariah dan semua agensi berkaitan supaya kita dapat memberi kepentingan terbaik kepada kanak-kanak berkenaan.

“Ini penting…apa-apa kepentingan terbaik kepada kanak-kanak ini kenalah diambil maklum dan dibuat pertimbangan sewajarnya untuk menjaga hak anak-anak yang sepatutnya kita menjadi penjaga terbaik,” katanya selepas Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau hari ini.

Sebelum ini, beberapa gambar menunjukkan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan, melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun sebagai isteri ke-3 tersebar di media sosial sejak Jumaat lepas.

Berikutan penularan berita itu, pengguna media sosial mengkritik tindakan lelaki itu dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.

Siasatan awal JKM Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu merupakan warganegara Thailand.