Kementerian Sumber Manusia perlu kendali permit pekerja asing, kata MTUC

Balasubramaniam berkata pengambilan pekerja asing pada masa hadapan hendaklah berdasarkan kerajaan kepada kerajaan bagi menghapuskan peranan orang tengah.

SHAH ALAM: Kementerian Sumber Manusia harus diberi peranan lebih besar dalam pengambilan pekerja asing bagi menentukan pengambilan pada masa hadapan hanya mengikut keperluan.

Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam berkata, ini kerana kementerian itu berada pada kedudukan lebih baik untuk menyediakan garis panduan dan prosedur yang akan menawarkan kejelasan dan ketelusan mengenai proses pengambilan pekerja asing, selain memastikan semua aktiviti pengambilan pekerja adalah selaras dengan keperluan.

A Balasubramaniam.

“Sungguhpun perolehan pekerja asing dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri, kerajaan harus memberi bidang kuasa kepada Kementerian Sumber Manusia dari segi pengeluaran permit kepada pekerja asing.

Menerusi cara itu sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa dapat dielakkan. Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia mempunyai 72 pejabat di seluruh negara dan ia lebih menyedari tentang keperluan menggaji pekerja asing dalam tenaga kerja tertentu,” katanya.

Balasubramaniam berkata harus ada dasar yang jelas di mana semua pengambilan pekerja asing pada masa hadapan hendaklah berdasarkan kerajaan kepada kerajaan bagi menghapuskan peranan orang tengah.

“Amalan pengambilan yang bertanggungjawab hendaklah dengan tidak mengenakan yuran dalam mana-mana proses pengambilan, sama ada oleh majikan, kontraktor atau ejen dari kedua-dua negara penerima dan negara penghantar,” katanya.