Khairy tolak tawaran Zahid jadi setiausaha agung BN

Khairy Jamaluddin berkata, beliau sedia bantu dan akan tetap bersama Umno. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin menolak tawaran daripada Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

Calon presiden Umno yang tewas dalam pemilian parti semalam berkata, beliau tidak mahu memegang sebarang jawatan tertinggi dalam parti, sebaliknya mahu fokus menjadi ahli Parlimen Rembau.

“Terima kasih Datuk Seri Zahid kerana menawarkan saya jawatan setiausaha agung BN tadi. Saya memberitahu beliau saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan tinggi parti.

“Saya memberi fokus kepada tugas sebagai ahli Parlimen. (Saya) sedia bantu dan tetap bersama Umno,” tulisnya dalam Twitter hari ini.

Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata, beliau akan berbincang dengan pucuk pimpinan Umno untuk melantik calon presiden yang tewas semalam memegang jawatan lantikan parti.

“Saya akan melihat kepada peranan yang akan dimainkan kedua-dua calon presiden yang tidak dapat memenangi jawatan ini. Janji saya adalah untuk membawa dan memberi tanggungjawab kepada mereka.

“Ia adalah untuk kita mengorak langkah menuju pembaharuan, sebagaimana dilontarkan calon-calon presiden,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno hari ini.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno dilaporkan berkata, statistik undi popular menunjukkan majoriti ahli Umno mahukan perubahan, namun sistem undi di peringkat bahagian menyebelahi “warlords” yang mempunyai cengkaman kuat ke atas bahagian mereka.

Katanya, ramai perwakilan Umno diarah, diugut dan dipaksa mengikut pilihan “warlord” dalam pemilihan Umno peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi semalam.

“Majoriti ahli nak berubah, tetapi ‘warlords’ masih pekak terhadap suara rakyat.

“Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri,” tulisnya di Twitternya hari ini.