MPM sokong pendirian kerajaan mengenai sekolah Cina

MPM berharap tiada lagi ihak cuba memburukkan keadaan dan memberi peluang kepada kementerian melaksanakan yang terbaik untuk pemantapan integrasi nasional. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung penempatan semula 6 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 10 SJKC baru, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad.

MPM menghormati pendirian itu kerana menurutnya “Kementerian Pendidikan dan menterinya berhak bertindak atas kepentingan nasional, bukannya melawan kepentingan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan agenda pendidikan negara”, katanya hari ini.

Terdahulu, pada 24 Jan 2018, MPM menerusi Panel Perundingan Pendidikan Nasional serta beberapa NGO lain mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan kerajaan melakukan penempatan semula 6 SJKC terlibat mempunyai kepentingan tertentu atau mempunyai motif berbaur politik semasa.

Menurut Hasan, keputusan MPM menyokong tindakan Maszlee atas alasan tindakan menteri berkenaan membidas tohmahan seorang pemimpin MCA adalah berasas dan munasabah.

Sebelum ini, menurut satu laporan berita, seorang pemimpin MCA cuba mempolitikkan isu pembinaan SJKC ini dengan menyatakan “jika kerajaan Pakatan mahu menghapuskan MCA, terdapat beribu cara lain lagi. Bagaimanapun, tolong lepaskan SJKC daripada penganiayaan politik tidak perlu”.

Hasan turut berharap agar tiada sesiapa lagi cuba memburukkan keadaan dan memberi peluang kepada kementerian berkenaan melaksanakan yang terbaik untuk pemantapan integrasi nasional di mana semua pihak bersatu hati dalam menyumbang buah fikiran.