Najib tiada kewibawaan bercakap tentang moral, kebajikan rakyat, kata Khairuddin

Khairuddin berkata sebelum ini Najib bercakap tentang 1Malaysia dan keperluan bersikap adil kepada semua rakyat, tetapi kini mahu menjadi ‘ultra Melayu’ pula menjadikan beliau pemimpin yang tidak boleh dipercayai. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PPBM menasihati bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berdiam diri dan tidak bercakap tentang moral dan kebajikan rakyat kerana beliau tidak memiliki kewibawaan untuk berbuat demikian.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Najib dan konco-konco beliau merupakan “kepala perompak” khazanah kerajaan dan wang rakyat yang terbukti di seluruh dunia menyebabkan beliau takut untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menuduh beliau.

“Ini terbukti di seluruh dunia. Sebab itu Najib takut hendak saman akhbar The Wall Street Journal dan semua kalangan yang buat tuduhan ke atas semua kes korupsi beliau dan konco-konconya,” kata beliau kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia hidup sengsara di bawah kepimpinan najib kerana keadaan ekonomi yang teruk musnah akibat sikap rakus pemimpin Umno yang merompak khazanah kerajaan.

Khairuddin, yang memberi respons kepada kenyataan Najib semalam berhubung amarannya bahawa orang Melayu akan “bangsat” di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata, Najib tidak mempunyai kewibawaan untuk banyak bercakap kerana rakyat menolak beliau dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Mana boleh ‘kepala penyamun’ hendak bercakap seolah-olah beliau ‘tok imam masjid’. Tolong jangan jadi manusia hipokrit,” katanya.

Beliau berkata bukan sahaja orang Melayu hidup “terbangsat” di bawah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) dahulu, tetapi 32 juta rakyat pelbagai bangsa turut mengalami keadaan sama.

Najib katanya, cuba menghasut orang Melayu seolah-olah kerajaan PH sedang menggadaikan hak orang Melayu kepada orang asing.

Katanya sebelum ini Najib bercakap tentang 1Malaysia dan keperluan bersikap adil kepada semua rakyat, tetapi kini mahu menjadi “ultra Melayu” pula menjadikan beliau pemimpin yang tidak boleh dipercayai.

“Dari sini pun kita sudah tahu siapa Najib Razak sebenarnya. Dahulu cakap lain dan kini cakap lain pula,” tambahnya.

Beliau berkata, platform terbaik Najib sekarang ialah membela dan mempertahankan dirinya di mahkamah, bukan cuba mempamerkan imej baik beliau.

“Agak terlambat untuk Najib nak berlakon jadi ‘wali suci’,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Khairuddin berkata beliau bersyukur bekas perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya memenangi pemilihan Umno sebagai presiden Umno semalam kerana beliau akan menjadi pemangkin kehancuran parti itu buat selama-lamanya.

“Saya bersyukur ‘kaki penipu’ itu memenangi jawatan presiden Umno yang sudah tidak relevan itu,” katanya.

Dalam pemilihan Umno semalam Zahid mengalahkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden Umno bagi penggal 2018-2021.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/30/najib-saya-pernah-beri-amaran-melayu-bangsat-di-bawah-ph/