Perang Yaman: Imam kanan Tunisia seru boikot ibadat haji

Riyadh didakwa menggunakan kota Mekah, yang merupakan kota paling suci dalam Islam, sebagai alat untuk memberi tekanan politik atau menghukum penentangnya. (Gambar fail)

TUNIS: Seorang imam Tunisia menggesa Imam Besar negara itu mengeluarkan fatwa tidak menggalakkan umat Islam pergi menunaikan ibadat haji bagi membantah perang kewilayahan dilancarkan Arab Saudi.

Fadhel Ashour, imam kanan dalam Persatuan Imam Tunisia membuat gesaan itu dalam temu bual dalam portal berita Arabi21, semalam.

“Wang yang diperolehi pihak berkuasa Saudi (daripada ibadat haji) tidak digunakan untuk membantu umat Islam miskin di seluruh dunia. Sebaliknya ia digunakan untuk membunuh dan mengusir orang awam seperti yang berlaku di Yaman sekarang,” kata beliau.

Katanya orang Islam Tunisia perlu memboikot ibadat haji dan menggunakan wang mereka bagi memperbaiki keadaan hidup rakyat di negara utara Afrika itu.

Ibadat haji ke Mekah merupakan salah satu rukun Islam dan orang Islam yang berkemampuan wajib melakukannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Riyadh didakwa menggunakan kota Mekah, yang merupakan kota paling suci dalam Islam, sebagai alat untuk memberi tekanan politik atau menghukum penentangnya.

Lebih 10,000 rakyat Yaman terbunuh dan 53,000 orang cedera sejak pakatan diketuai Saudi campur tangan di negara itu.

Lebih 2,000 yang lain mati kerana serangan taun, sementara berjuta-juta penduduk negara itu berdepan ancaman kebuluran, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan dunia paling buruk.