Polis: Lelaki kahwin kanak-kanak tiada unsur jenayah

Polis berkata, lelaki itu tidak ditahan untuk siasatan kerana perkahwinan itu dipersetujui kedua-dua pihak tanpa sebarang unsur jenayah. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Polis Kelantan menolak kemungkinan wujud unsur jenayah membabitkan perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berumur 41 tahun yang tersebar di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata siasatan mendapati tiada sebarang unsur ugutan, paksaan atau rayuan mahupun pedofilia terhadap kanak-kanak tersebut untuk berkahwin dengan suaminya.

“Siasatan kes berkenaan dibuka selepas kami menerima laporan polis yang dibuat isteri ke-2 lelaki tersebut yang berumur 34 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang semalam.

“Kes berkenaan bagaimanapun diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan difahamkan ia kini disiasat di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 kerana berkahwin dengan wanita berusia bawah 18 tahun,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau berkata, suami kanak-kanak itu yang merupakan peraih getah sekerap tidak ditahan untuk siasatan dan masih bebas kerana perkahwinan itu dipersetujui kedua-dua pihak tanpa sebarang unsur jenayah.

Bagaimanapun, katanya, polis akan membuat semakan terhadap taraf kewarganegaraan, status penduduk tetap ataupun dokumen perjalanan keluarga kanak-kanak itu.

Sebelum ini, beberapa gambar menunjukkan seorang lelaki melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ke-3 beliau, tersebar di media sosial sejak Jumaat lalu selepas perkara itu dikongsikan isteri ke-2 lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna media sosial mengkritik tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.