Sapura Energy, rakan kongsi peroleh kontrak minyak Mexico

Blok 30 yang terletak di Lembangan Sureste merupakan kawasan hidokarbon yang terbukti dan prolifik di Teluk Mexico. (Gambar sapuraenergy.com)

PETALING JAYA: Sapura Energy dan 2 rakan kongsinya akan bekerja di Blok 30 Teluk Mexico dalam kontrak perkongsian pengeluaran dengan Mexico Comision Nacional De Hidrocarburors atau Suruhanjaya Hidrokarbon Nasional.

Anak syarikat milik penuh Sapura Energy, Sapura Exploration and Production dan 2 rakan kongsinya, DEA Deutsche Erdoel Mexico dan Premier Oil, mengalahkan 6 pembida lain untuk memenangi blok pengeluaran yang menjadi rebutan dalam pusingan bidaan perairan cetek yang baru selesai, lapor The Star Online.

Laporan itu menyebut, Blok 30 yang terletak di Lembangan Sureste merupakan kawasan hidokarbon yang terbukti dan prolifik di Teluk Mexico.

Blok 30 terletak di perairan cetek kira-kira 70 meter ke arah barat daya kawasan penemuan Zama berkelas dunia Premier Oil dan ke utara medan minyak Amoca.

Sapura E&P memeterai perjanjian bidaan dengan DEA dan Premier berasaskan agihan ekuiti dengan DEA memiliki 40%, Sapura Energy 30% manakala Premier memegang 30%.