Selepas menang, 4 pemimpin Umno Sungai Petani letak jawatan

Empat pemimpin Umno Bahagian Sungai Petani itu bersama 2/3 ahli jawatankuasa sayap melepaskan jawatan disandang, menjadikan jumlah yang meletak jawatan melebihi 40 orang. (Gambar Facebook)

SUNGAI PETANI: Umno Bahagian Sungai Petani bergolak apabila naib ketua bersama ketua Wanita, Pemuda dan Puteri melepaskan jawatan yang dimenangi mereka menerusi pemilihan semalam dan minggu lalu, berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat Naib Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Muhamad Effendi Mashum dalam sidang media tergempar di sebuah hotel, di sini, petang tadi.

Effendi berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat selepas perbincangan dengan semua yang terlibat, namun mereka akan terus setia dan memperjuangkan Umno sebagai ahli biasa.

“Keputusan ini dibuat atas alasan ketidakwajaran kepimpinan bahagian baru diberi mandat…ia dibuat secara ikhlas, telus dan teliti tanpa dipengaruhi atau desakan mana-mana pihak.

“Berdasarkan keputusan diperolehi, selepas perbincangan serius dan penilaian terbaik dilakukan, saya selaku naib ketua Umno Bahagian bersama ketua Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli jawatankuasa melepaskan jawatan disandang serta-merta.”

Beliau berkata, peletakan jawatan secara rasmi akan dibuat dalam masa terdekat dan 2/3 ahli jawatankuasa sayap turut mengambil langkah sama melepaskan jawatan disandang, menjadikan jumlah pemimpin yang melepaskan jawatan melebihi 40 orang.

Barisan kepimpinan yang turut melepaskan jawatan ialah Ketua Wanita, Wan Mohalina Wan Mohamad; Ketua Pemuda, Mohd Rahmat Darus dan Ketua Puteri, Mashitoh Mohamad Yusoff.

Pemilihan Umno Bahagian Sungai Petani yang berlangsung semalam menyaksikan Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, yang juga kakak kepada Mashitoh dipilih sebagai ketua Umno Bahagian Sungai Petani, selepas mengalahkan penyandang, Datuk Abd Rahim Saad, manakala jawatan timbalan ketua dimenangi Mohd Rodhi Rejab.