Virus masih berleluasa, Mas Ermieyati keluar Umno

Dipercayai, keputusan itu diambilnya setelah tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan Umno semalam yang menobatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno ketujuh. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin memutuskan untuk keluar Umno dan memilih menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Mas Ermieyati berkata, keputusan itu diambil setelah melihat Umno kebelakangan ini tergelincir dari landasan asal hingga ditolak bangsa Melayu sendiri.

“Bermula 1 Julai 2018 dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti Umno bersama-sama dengan pengikut setia saya.

“Saya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas. Menjadi Ahli Parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak Kerajaan sebagai “Check and balance” atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Bahkan tanpa terikat dengan etika Ahli Parlimen yang mewakili sesebuah parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dipercayai, keputusan itu diambilnya setelah tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan Umno semalam yang menobatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno ketujuh.

“Di sini kita dapat menilai reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli UMNO yang masih dalam sindrom penafian. Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?

“Harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70% muka baru yang berwibawa di pelbagai peringkat tidak kesampaian,” katanya.

Zahid memperoleh 93 undi Bahagian Umno pada pemilihan kali ini, mengalahkan Khairy Jamaluddin yang mendapat 53 undi dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah 28 undi.

Perwakilan daripada 191 Bahagian Umno di seluruh negara mengundi dalam pemilihan kali ini.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan sebagai pemenang apabila jauh meninggalkan pencabarnya Tan Sri Annuar Musa dengan mendapat 110 undi.

Beliau yang bekas ketua Puteri Umno percaya, kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat menolak Umno.

“Sebaliknya mereka beranggapan Umno hanyalah mangsa kebencian rakyat kepada Dato Seri Najib semata-mata. Skandal 1MDB membuatkan rakyat Malaysia mempersendakan Umno,” katanya.