Zahid sahkan dipanggil SPRM siasat yayasan keluarga

Zahid Hamidi berkata, dana yayasan itu disumbang beliau sendiri serta beberapa rakan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana sebuah yayasan milik ahli keluarganya.

“Saya akan hadir ke SPRM esok, namun masih belum diketahui jam berapa.

“Saya diminta membuat penjelasan terhadap beberapa isu, pertamanya seperti mana tersiar bahawa keterangan yang saya berikan adalah mengenai sebuah yayasan dipunyai keluarga saya.

“Yayasan itu tujuannya adalah untuk melakukan kerja amal jariah, (bina) masjid, tahfiz, beberapa aktiviti keagamaan lain mengikut hukum syariah dan infak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, hari ini.

Zahid berkata, dana yayasan itu adalah sumbangan beliau sendiri serta beberapa rakan untuk tujuan kebajikan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan siasatan SPRM sejak awal tahun ini mendapati seorang pemimpin tertinggi Umno disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan itu untuk membayar bil kad kredit miliknya dan isteri sejak 2014 hingga 2016.

Akhbar itu melaporkan pemimpin itu ialah menteri kanan dalam Kabinet bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan Zahid ialah pengerusi yayasan itu dan rekod menunjukkan ia ditubuhkan pada 1977 dengan matlamat menerima serta menguruskan dana bagi membasmi kemiskinan.

Sementara itu, katanya, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghantar surat rayuan kepada SPRM berhubung isu pembekuan akaun Umno.

“Untuk akaun Umno, saya dan setiausaha agung sudah berbincang dan surat rayuan sudah dihantar untuk rayu agar ada kelonggaran dari segi pelepasan wang yang terdapat dalam ibu pejabat.

“Ia bagi tujuan membayar gaji, penyewaan dan perbelanjaan lain, bagi menentukan pegawai bekerja di ibu pejabat tidak dizalimi kerana mereka mempunyai keluarga.”