Anak tiri Najib pula akan disoal SPRM

Riza Aziz dijangka memberi keterangan kepada SPRM esok. (Gambar AFP)

PUTRAJAYA: Riza Aziz, anak tiri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dijangka akan disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok dalam siasatan agensi itu ke atas 1MDB.

Sumber berkata Riza dijangka memberi keterangan pada 2.00 petang di ibu pejabat SPRM.

Keterangan Riza diambil hampir sebulan selepas ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, disoal oleh SPRM dalam siasatan dakwaan korupsi terhadap syarikat milik kerajaan itu.

Rosmah dan Najib disoal dalam siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, dan kira-kira RM42 juta yang disalurkan ke akaun bank Najib.

Najib disoal oleh SPRM pada 22 Mei. Dua hari kemudian, dia disoal selama 7 jam.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa syarikat milik Riza di Amerika Syarikat, Red Granite, yang menghasilkan filem Wolf of Wall Street yang dicalonkan untuk anugerah Oscar, menerima wang yang digelapkan daripada 1MDB.

Riza menafikan dakwaan itu.

Bagaimanapun, Red Granite pada Mac tahun ini, bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS untuk menyelesaikan dakwaan ia mendapat keuntungan daripada wang korupsi berkaitan 1MDB, lapor majalah Variety.